ZII Jia percaya mampu untuk memberikan saingan kepada pemain handalan pada masa akan datang. FOTO EPA
ZII Jia percaya mampu untuk memberikan saingan kepada pemain handalan pada masa akan datang. FOTO EPA
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Pemain perseorangan badminton negara, Lee Zii Jia mengakui dia semakin matang dalam mengharungi perlawanan dan belajar cara terbaik untuk mengatasi tekanan terutama ketika dalam perlawanan membabitkan saingan berpasukan.

Malah Zii Jia yang menggalas tugas sebagai kapten pasukan negara di Piala Thomas yang berlangsung di Aarhus Denmark itu berkata, dia yakin jurang permainan dengan pemain handalan dunia yang lain sudah semakin dekat.

Katanya, cara permainannya dan latihannya yang dipraktikkan selama ini sudah menampakkan hasil.

"Saya percaya saya mampu untuk memberikan saingan kepada pemain handalan pada masa akan datang.

"Secara keseluruhannya saya puas hati dengan prestasi saya setakat ini dan memang sukar untuk mendapat peluang bertemu lawan yang sama dalam tempoh yang dekat seperti pertemuan menentang Kento Momota," kata Zii Jia.

Sementara itu, Pengarah Kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia, Wong Choong Hann berkata, beliau mengakui bahawa Zii Jia mengalas tugas yang berat selaku kapten pasukan.

Tapi perkara itu akan mematangkannya terutama ketika dia memainkan peranan penting untuk mencatatkan kemenangan bagi meningkatkan semangat rakan pasukan yang lain dalam setiap saingan di Piala Thomas ini.

"Zii Jia tahu tugasnya. Dia tahu dia perlu menang kerana memang sangat penting untuk meraih mata pada perlawanan pertama bagi memberi semangat kepada rakan pasukan yang lain.

"Kita boleh lihat bila dia tewas permainan Aaron Chia-Soh Wooi Yik pun terjejas kerana mereka berada dalam tekanan," katanya.

Apapun katanya, semangat yang ditunjukkan pemain harus dipuji kerana mereka memberikan terbaik untuk negara dan ia satu pengalaman yang bermakna buat pemain muda negara.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Oktober 2021 @ 2:08 PM