Lee Zii Jia
Lee Zii Jia
Oleh Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Anthony Ginting boleh dikalahkan jika Lee Zii Jia mampu menandingi kekuatan dan kepantasan pemain Indonesia itu, jelas bekas perseorangan lelaki negara Chong Wei Feng.

Wei Feng cukup masak dengan corak permainan Ginting selepas mereka pernah berentap sebanyak empat kali dengan aksi sulung menyaksikan beliau berjaya mencatat kemenangan 21-17, 19-21, 21-18 di pusingan ketiga Terbuka Macau 2016.

"Kekuatan dan kepantasan itulah kelebihan Ginting, ketika berjaya mengalahkannya pada aksi sulung dalam empat pertemuan, saya masih lagi cergas kerana baru keluar dari Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

"Apa pun saya nasihatkan, siapa saja bakal berdepan dengan Ginting, harus mempunyai corak pertahanan yang bagus. Kena ikut rentak pantasnya, kaki perlu cepat di gelanggang," kata Wei Feng yang tumbang tiga kali berturut-turut kepada Ginting pada 2017, 2018 dan 2019. Bagaimanapun, Wei Feng mengakui Zii Jia tidak akan berdepan masalah untuk mengatasi kepantasan Ginting kerana juara baru Seluruh England itu masih lagi muda.

"Dari segi kepantasan saya rasa Zii Jia tidak berdepan masalah, kerana dia masih muda. Cuma corak pertahanannya perlu mantap, harus berdisiplin. Zii Jia juga mempunyai kelebihan dari segi serangan.

"Sekarang ini sama ada dia perlu melakukan ulang kaji untuk mempertingkatkan corak pertahanan ataupun terus menggunakan kelebihan dari serangan apabila berdepan dengan Ginting pada masa akan datang," kata pemenang pingat emas Sukan Sea Singapura 2015 itu. Wei Feng yang juga rakan senegeri Zii Jia mengakui corak pertahanan Zii Jia sebenarnya semakin mantap cuma ketika di Thailand perseorangan lelaki nombor satu negara itu sedikit hilang keyakinan.

"Bagaimanapun, kita dapat lihat dia mula membina keyakinan ketika di Terbuka Switzerland sehinggalah satu demi satu aksi di Seluruh England. Sekarang keyakinannya semakin tinggi dan semua seakan sempurna.

"Saya tengok permainan Zii Jia sekarang juga semakin meningkat, dia mempunyai pelbagai pukulan pemusnah, malah aksinya di jaring juga sudah banyak berubah," kata jurulatih dan pengarah Akademi Badminton Chong Wei Feng itu.

Kelmarin Zii Jia mengakui mangsa seterusnya adalah Ginting, selepas berjaya menumbangkan Kento Momota dan Viktor Axelsen di Seluruh England minggu lalu sehingga membolehkannya meraih gelaran juara.

Hanya Ginting saja satu-satunya pemain dari kelompok 10 terbaik dunia yang belum pernah dikalahkannya. Berdasarkan rekod pertemuan Zii Jia dan Ginting, tiga perlawanan yang dilalui sejak 2019 hingga Jelajah Dunia Akhir Januari lalu, semuanya memihak kepada lawan dari negara seberang itu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Mac 2021 @ 7:01 AM