Pengarah Kejurulatihan BAM, Wong Choong Hann. FOTO File NSTP
Pengarah Kejurulatihan BAM, Wong Choong Hann. FOTO File NSTP
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Pengarah Kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Wong Choong Hann mengakui bahawa ketiga-tiga kejohanan yang berlangsung di Bangkok bulan lalu tidak akan dijadikan ukuran untuk menilai pemainnya.

Menurut bekas pemain perseorangan lelaki negara itu, ketiga-tiga kejohanan itu adalah saingan antarabangsa pertama skuad negara yang sebelum ini hanya berkampung dan berlatih di Akademi Badminton Malaysia (ABM) selepas kerajaan mengenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Bagaimanapun, beliau tidak teragak-agak untuk memberikan pujian kepada pemain muda negara di atas persembahan terpuji di dua saingan Terbuka Thailand.

Choong Hann juga mengakui bahawa beregu lelaki berjaya mempertingkatkan permainan terutama dari segi kepantasan, kekuatan dan lebih agresif.

Mengenai prestasi perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia, pula beliau berkata, staf kejurulatihan BAM akan mengkaji semula kekurangan dalam program latihan pemain berkenaan.

Pencapaian pemain terbaik negara di ketiga-tiga kejohanan berkenaan terutama membabitkan pemain BAM ialah pasangan beregu lelaki, Aaron Chia-Soh Wooi Yik berjaya mara ke perlawanan akhir Toyota Terbuka Thailand, manakala Mei Kuan-Meng Yean dan beregu campuran layak ke separuh akhir Jelajah Dunia Akhir.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Februari 2021 @ 9:43 PM