SUMAREH (kiri) ketika beraksi bersama Pahang dalam saingan Liga Malaysia.
SUMAREH (kiri) ketika beraksi bersama Pahang dalam saingan Liga Malaysia.
Mohd Rafi Mamat


TANPA memiliki sijil perpindahan dikeluarkan oleh Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP), Mohamadou Sumareh tidak mungkin boleh beraksi dengan pasukan baharu walaupun kontrak bermain sudah ditandatangani.

Itu syarat dikeluarkan Persatuan Bolasepak Antarabangsa (Fifa) yang perlu diikuti semua pemain profesional, kegagalan mematuhi peraturan berkenaan pasti mengundang padah pada pemain terbabit yang boleh dikenakan denda dan penggantungan.

Menurut bekas pemain kebangsaan, Datuk Jamal Nasir Ismail, tidak ada makna Sumareh diterima beraksi dengan pasukan baharu sedangkan dia masih tidak memiliki sijil perpindahan yang dikeluarkan PBNP sebagai bukti kebenaran atau pelepasan berpindah. Katanya, PBNP masih lagi berkuasa terhadap pemain berkenaan, apa juga alasan yang diberikan Sumareh masih belum boleh beraksi dengan pasukan baharu selepas bertindak meninggalkan skuad Tok Gajah kendalian jurulatih Dollah Salleh.

"Saya berpendapat tindakan Sumareh tidak mengikuti sesi latihan selama sebulan tanpa sebab sudah terbukti dia bersalah, sebagai pemain tindakan berkenaan kesalahan yabg dianggap berat dan boleh dikenakan tindakan.

"Bagaimanapun, saya lihat PBNP masih lagi berlembut dan bertolak ansur dengan tidak mengenakan sebarang hukuman terhadap pemain terbabit, mungkin peluang mohon maaf disediakan oleh persatuan.

"Saya berpendapat sudah tiba masanya PBNP bertindak tegas sebagai pengajaran kepada Sumareh dan pemain lain supaya tidak melakukan tindakan sama," katanya hari ini. Tambahnya, tindakan Sumareh meninggalkan Tok Gajah ketika saingan Liga Super baru bermula menggambarkan seolah dia tidak memahami peraturan dan undang-undang, tindakan yang dilakukan mencerminkan permain berkenaan tidak profesional.

Jamal Nasir berkata, tidak mustahil Sumareh mendapat nasihat daripada pihak yang masih kurang arif dengan peraturan serta undang-undang membabitkan pemain profesional yang beraksi dalam saingan bola sepak profesional.

Katanya lagi, tindakan pemain terbabit mendakwa PBNP gagal membayar gajinya seolah sengaja mencipta alasan untuk membolehkannya meninggalkan pasukan tanpa berbincang terutama membabitkan kontrak yang masih berbaki.

"Hati Sumareh sudah tidak ada untuk Pahang namun kesilapan besar dilakukan ialah bertindak ponteng latihan selama sebulan seterusnya meninggalkan Tok Gajah tanpa mengadakan perbincangan.

"Tindakan tidak bijak yang dilakukan mengundang padah pada dirinya sendiri, dia sepatutnya mengikut contoh rakan sepasukan dahulu Matthew Davies yang meninggalkan Pahang secara profesional untuk bersama Johor Darul Ta'zim (JDT) tanpa banyak masalah," katanya. Semalam, Sumareh mengumumkan menyertai kelab dari Thailand, Police Tero FC selepas membuat keputusan meninggalkan skuad Tok Gajah sebelum saingan Liga Malaysia (Liga M) bersambung.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 September 2020 @ 6:05 PM