Bekas pemain bola sepak Kebangsaan, Datuk Jamal Nasir Ismail. FOTO File NSTP
Bekas pemain bola sepak Kebangsaan, Datuk Jamal Nasir Ismail. FOTO File NSTP
Mohd Rafi Mamat


PERSATUAN Bolasepak Negeri Pahang (PBNP) perlu mengambil tindakan tegas terhadap Mohamadou Sumareh sekiranya benar pemain naturalisasi skuad kebangsaan itu terbukti melanggar kontrak.

Bekas pemain kebangsaan Datuk Jamal Nasir Ismail berkata, tindakan undang-undang perlu diambil sekiranya terbukti pemain kelahiran Gambia itu bertindak meninggalkan skuad Tok Gajah tanpa merujuk serta berbincang kepada PBNP.

Menurutnya, menjadi kesalahan pada pemain apabila bertindak meninggalkan pasukan tanpa mendapat pelepasan daripada majikan terutama ketika kontrak masih berbaki.

"PBNP boleh membuat aduan kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Persatuan Bolasepak Asia (AFC) dan Persatuan Bolasepak Antarabangsa (Fifa) berkaitan tindakan Sumareh yang meninggalkan pasukan Pahang sedangkan kontraknya masih ada.

"Badan bola sepak yang berkaitan akan meneliti kes berkenaan sebelum mengambil tindakan yang sewajarnya. Kedua-dua belah pihak perlu menyediakan alasan masing-masing," katanya.

Beliau berkata, diatas kertas Sumareh mungkin bersalah kerana tidak menghadiri sesi latihan bersama pasukan selama sebulan tanpa alasan hingga menimbulkan masalah kepada jurulatih Dollah Salleh.

Bagaimanapun, Jamal Nasir berkata, sekiranya masih ada ruang perbincangan lebih baik kes berkenaan diselesaikan secara baik tanpa membabitkan mahkamah dan pihak lain.

"Saya yakin masih ada ruang perbincangan yang boleh diselesaikan, namun sekiranya tiada keputusan bolehlah ia diselesaikan secara profesional melalui mahkamah.

"Secara peribadi saya berpendapat tindakan Sumareh meninggalkan Tok Gajah mengundang padah dan tidak profesional.

"Kes berkenaan tidak seharusnya berlaku terutama membabitkan seorang pemain profesional, imej sebagai pemain naturalisasi kini tercalar," katanya yang berharap kes berkenaan dapat diselesai secara baik.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 September 2020 @ 9:57 PM