DAVIES sarung jersi Harimau Selatan.
DAVIES sarung jersi Harimau Selatan.
Mohd Rafi Mamat


PEMINAT setia Tok Gajah tidak perlu meratapi kehilangan pemain pertahanan Matthew Davies yang bertindak memilih jalan keluar dua minggu sebelum Liga Super bermula.

Bekas pemain kebangsaan Datuk Jamal Nasir Ismail berkata, sebagai pemain profesional dia berhak sepenuhnya membuat pilihan pasukan mana yang ingin diwakili setiap kali tiba musim baru.

Menurutnya, semua pihak perlu menerima secara terbuka keputusan dibuat pemain terbabit yang memilih Johor Darul Tak'zim (JDT) selepas meninggalkan Pahang.

Katanya, Davies meninggalkan skuad Tok Gajah mengikut saluran dan peraturan sedia ada, tiada istilah cabut lari walaupun beberapa hari lagi saingan Liga Super bermula.

"Davies pemain profesional dan dia berhak membuat keputusan demi masa depan dalam kerjaya bola sepak, tidak ada istilah tidak setia dan inginkan pendapatan lebih.

"Saya lihat Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP) juga profesional dalam kes perpindahan pemain berkenaan, semua berjalan lancar berlandaskan peraturan," katanya.

Beliau berkata, peminat Pahang tidak perlu melatah membuat pelbagai tuduhan sumbang yang boleh menjejaskan imej pemain kebangsaan itu.

Dia yang pernah membimbing Tok Gajah sebelum ini berkata, ketiadaan Davies membuka peluang kepada pemain muda untuk membuktikan kebolehan.

"Saya yakin kepakaran dan pengalaman luas jurulatih Dollah Salleh dan pembantunya Ahmad Yusof dapat membentuk kelibat pemain muda berkualiti bagi mengisi posisi pertahanan kanan ditinggalkan Davies.

"Saya berharap peminat setia Tok Gajah bersabar dan memberi peluang kepada pemain muda untuk membuktikan kebolehan, dalam masa sebulan hingga dua bulan Pahang pasti memiliki pengganti Davies," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Februari 2020 @ 2:33 PM