BARISAN pemain Pahang ketika bertemu JDT minggu lalu. FOTO FB Pahang FA
BARISAN pemain Pahang ketika bertemu JDT minggu lalu. FOTO FB Pahang FA
Asrol Awang


SKUAD Pahang perlu bangkit dan melakar kemenangan apabila berdepan UiTM FC dalam saingan Liga Super di Stadium UiTM Shah Alam, Sabtu ini.

Pengurus Tok Gajah, Datuk Mohammed Suffian Awang berkata, kekalahan 2-3 di tangan Johor Darul Ta'zim (JDT) 28 Ogos lalu, diharap tidak menjejaskan moral pemain.

"Saya harap perlawanan kedua selepas saingan liga bersambung akan memihak kepada Pahang untuk kembali bersaing di kedudukan lebih baik.

"Oleh itu, pemain perlu bangkit mencipta kemenangan dengan baki enam perlawanan termasuk pertemuan dengan UiTM Sabtu ini," katanya.

Selepas lima perlawanan, skuad kendalian Dollah Salleh sekadar merekodkan dua kemenangan dan tiga kekalahan.

Kekalahan di tangan JDT meletakkan Pahang di kedudukan ketujuh liga dengan perbezaan tujuh mata dengan pendahulu liga, JDT yang mengutip 13 mata.

Mengulas persembahan yang dipamerkan pemain muda termasuk yang kali pertama beraksi dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini, beliau berpuas hati dengan komitmen yang dipersembahkan.

Katanya, keyakinan yang ditunjukkan itu membantu meningkatkan lagi prestasi semasa dalam memperkasakan pasukan apabila diberikan peluang bermain.

"Saya harap pengalaman yang dimiliki ketika bertemu JDT membantu sekali gus meletakkan pasukan pada tahap terbaik.

"Peluang yang dimiliki seharusnya dibuktikan dengan membantu pasukan

merekodkan keputusan membanggakan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 September 2020 @ 7:12 PM