MARTINEZ (kiri) mengalirkan air mata selepas menjuarai Piala FA. FOTO Agensi
MARTINEZ (kiri) mengalirkan air mata selepas menjuarai Piala FA. FOTO Agensi
Agensi

EMILIANO Martinez menggesa Arsenal memilihnya sebagai penjaga gol nombor satu selepas sedekad disisihkan daripada pasukan.

Pemain Argentina itu dipinjamkan ke kelab lain sebanyak enam kali sejak menyertai Gunners pada 2010.

Bagaimanapun, dia mendapat peluang dalam skuad Mikel Arteta susulan kecederaan dialami penjaga gol utama, Bernd Leno.

Dia kemudiannya menjadi tumpuan pada final Piala FA menentang Chelsea yang dimenangi Arsenal 2-1, awal bulan ini.

Martinez memberi bayangan mampu menurut jejak penjaga gol legenda, Iker Casillas yang mendapat peluang mencipta nama di Real Madrid selepas rakan sepasukan mengalami kecederaan.

Pemain berusia 27 tahun itu berkata kepada AS: ''Tahun ini yang terbaik dalam karier saya tetapi tidak mudah untuk penuhi impian.

"Saya tiba di Arsenal pada 2010 dan sejak itu lima kali dipinjamkan termasuk sekali bersama Okford tetapi saya hanya beraksi satu perlawanan.

"Jujurnya, ia tidak mudah buat saya. Saya dapati ia sukar dan saya merana lebih daripada saya jangkakan.

"Pinjaman terakhir bersama Reading yang paling saya nikmati. Pengurus, Jose Gomes, menaruh sepenuh kepercayaan kepada saya dan membantu saya berkembang dan boleh saya katakan, semua usaha itu kini berbaloi.''

Martinez mendapat pujian ketika membantu kemenangan Arsenal pada final Piala FA menentang Chelsea selain apa diperkatakannya selepas itu.

Malahan dia lebih disanjung penyokong selepas mengisytiharkan: "Saya tak peduli mengenai wang.''

Dia mengalirkan air mata selepas Gunners menjulang trofi itu buat kali ke-14.

Menurutnya: "Sebenarnya, saya kembali ke Arsenal banyak kali kerana mereka terus percaya saya mampu menjadi pemain nombor satu.

"Jika mereka berkata: 'Tengok, anda tiada masa depan bersama kelab ini,' saya pasti akan berpindah ke kelab lain.

"Tetapi sekarang saya mencapai apa yang saya mahukan dan mahu terus berjaya bersama Arsenal.

"Kecederaan Bernd Leno menukar nasib karier saya. Penjaga gol lain yang hebat seperti Iker Casillas mendapat peluang besar selepas penjaga gol utama tercedera. ''Anda perlu bersedia apabila dipanggil dan berharap dapat terus bersama Arsenal pada musim baharu ini. Itu idea saya dan sudah tentu saya mahu menjadi penjaga gol nombor satu.''

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Ogos 2020 @ 2:28 PM