MARTINEZ menandatangani autograf ketika sambutan di kampung halamannya. FOTO AFP
MARTINEZ menandatangani autograf ketika sambutan di kampung halamannya. FOTO AFP
AFP

Mar del Plata: Penjaga gol Argentina yang menjulang trofi Piala Dunia, Emiliano Martinez disambut kira-kira 100,000 orang di kampung halamannya, Mar de Plata.

Ia adalah gelaran ketiga Argentina tetapi Martinez adalah pemenang Piala Dunia pertama dari bandar peranginan di selatan Buenos Aires, di mana pemain tenis Guillermo Vilas sebelum ini adalah personaliti sukan paling terkenal.

Martinez menayangkan kepada orang ramai yang hadir trofinya sebagai penjaga gol terbaik kejohanan dan memberitahu mereka ia 'bukan sahaja untuk dirinya tetapi untuk semua kanak-kanak, penjaga gol kecil, yang bermimpi untuk sampai ke tahap itu.'

"Ini adalah perkara yang indah, seorang penjaga gol mendapat pengiktirafan kerana kebiasaannya diberikan kepada penyerang," kata Martinez, yang meninggalkan Argentina pada usia 17 tahun untuk menyertai Arsenal di England dan kini bermain untuk Aston Villa dalam Liga Perdana Inggeris.

Dia mencipta reputasi sebagai pakar sepakan penalti selepas kejayaannya pada final Copa America 2021 menentang Brazil dan kemudian menentang Perancis di Doha.

"Mengenai sepakan penalti saya menjadi yakin dan saya tahu orang menghormati saya, saya tahu kerana pemain lawan juga memberitahu saya begitu," katanya.

Martinez mempertahankan strateginya cuba melakukan provokasi kepada pengambil sepakan penalti.

"Apabila anda mengambil penalti pertama dalam perlawanan akhir Piala Dunia, anda tahu pemain itu akan menjadi sangat gementar, katanya.

"Saya cuba bermain dengan mereka, menolak bola sedikit, bercakap dengan mereka," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Disember 2022 @ 8:49 PM