LUQMAN (tengah) mencium ibunya, Hasmah sebelum  berlepas ke Eropah untuk mewakili kelab utama di Belgium, KV Kortrijk di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). Turut kelihatan bapanya, Shamsudin Mahmood. FOTO Mohd Fadli Hamzah
LUQMAN (tengah) mencium ibunya, Hasmah sebelum berlepas ke Eropah untuk mewakili kelab utama di Belgium, KV Kortrijk di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). Turut kelihatan bapanya, Shamsudin Mahmood. FOTO Mohd Fadli Hamzah
Firdaus Hashim


BUKAN budu, bukan keropok lekor mahupun keropok ikan yang di bawa ke Belgium, sebaliknya daging serunding adalah menu tambahan yang dibekalkan ibu Luqman Hakim Shamsudin, Hasmah Che Soh buat anak kesayangannya itu.

Jelas Hasmah, dia membekalkan daging serunding buat Luqman yang berlepas ke Eropah bagi menyertai kelab liga utama Belgium, KV Kortrijk dengan ikatan kontrak profesional selama lima tahun.

"Cuma makcik bagi sambal daging (serunding daging) kat dia. Budu tak boleh (bawa) cuma sambal daging itu saja. Makcik nak bagi dia bawa (makan di sana) saja," kata ibunya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang, awal pagi semalam.

Menurutnya lagi, sebagai ibu di sentiasa mendoakan kejayaan Luqman biarpun mengakui sedih terpaksa berjauhan dengan anak bongsunya itu.

Bagaimanapun, demi mencapai cita-cita dan keazaman untuk mengharumkan nama negara, Hasmah redha pemergian Luqman ke Eropah.

"Sebagai seorang ibu rasa bangga itu memang ada. Hati makcik ini rela dan reda dia pergi untuk karier dia. Kalau dia kuat hati, makcik pun sekuat hati juga lepaskan dia pergi.

"Rasa takut itu memanglah ada dalam hati, ibukan mestilah ada rasa macam itu. Tapi makcik kuatkan semangat dan makcik restu dia pergi," kata ibu Luqman.

Selain itu, Hasmah turut turut mengingatkan Luqman supaya sentiasa berusaha dan meningkatkan prestasinya sepanjang berada di KV Kortrijk.

"Pesanan makcik dia kena jaga diri, kena pandai sesuai diri kat sana dan prestasi itu kena meningkatlah sebab nak capai cita-citakan. Lepas itu nak naikkan nama Malaysia juga," katanya.

Terdahulu, pemain kelahiran Kota Bharu, Kelantan itu melakar sejarah baharu dalam arena bola sepak negara apabila muncul pemain pertama dari Malaysia yang beraksi di liga utama Eropah.

Setiba di Brussels, Belgium, Luqman akan menjalani tempoh kuarintin selama 14 hari dan selepas berakhir tempoh berkenaan, dia akan terus mengikuti latihan bersama skuad utama pasukan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Ogos 2020 @ 7:10 PM