Firdaus Hashim

SELEPAS tertangguh beberapa kali sebelum ini, akhirnya penyerang sensasi negara, Luqman Hakim Shamsudin berlepas ke Belgium malam ini bagi menyertai kelab baharunya, KV Kortrijk.

Luqman yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang jam 11.15 malam ditemani oleh keluarga tersayang termasuk ibu dan bapanya.

Berkongsi mengenai perasaannya, pemain kelahiran Kota Bharu, Kelantan itu mengakui sedih terpaksa meninggalkan keluarga namun demi mencapai impiannya dia kuatkan semangatnya.

"Memang sedih tapi saya kena kuat semangat kerana ini adalah impian saya sejak kecil," katanya ketika ditemui.

LUQMAN (tengah) mencium ibunya, Hasmah sebelum  berlepas ke Eropah untuk mewakili kelab utama di Belgium, KV Kortrijk di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). Turut kelihatan bapanya, Shamsudin Mahmood. FOTO Mohd Fadli Hamzah

Di Brussels, Belgium nanti Luqman bakal disambut kedutaan Malaysia di sana dan dia dijadualkan menjalani tempoh kuarantin selama 14 hari.

Selepas berakhir tempoh kuarantin terbabit, dia akan terus mengikuti latihan bersama skuad utama KV Kortrijk.

Minggu lalu, Luqman melakar sejarah baharu dalam arena bola sepak negara apabila muncul pemain profesional pertama dari Malaysia yang beraksi di liga utama Eropah.

Dia yang digelar 'The Golden Boy' ekoran tercalon dalam 80 bintang muda terbaik dunia dalam anugerah 'Golden Boy' ditawarkan kontrak selama lima musim dengan gaji dianggarkan RM15,000-RM25,000 sebulan.

Luqman Hakim berlepas ke Eropah untuk mewakili kelab utama di Belgium, KV Kortrijk di KLIA. FOTO Mohd Fadli Hamzah
Luqman Hakim berlepas ke Eropah untuk mewakili kelab utama di Belgium, KV Kortrijk di KLIA. FOTO Mohd Fadli Hamzah

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Ogos 2020 @ 12:14 AM