REEZAL (tengah) bergambar bersama pengurusan dan pemain Malaysia bawah 19 ketika meninjau perkembangan terkini pasukan Malaysia Bawah 19 membuat persiapan bagi kejohanan Piala AFC 2021 di Wisma FAM, Petaling Jaya. FOTO Hazreen Mohamad
REEZAL (tengah) bergambar bersama pengurusan dan pemain Malaysia bawah 19 ketika meninjau perkembangan terkini pasukan Malaysia Bawah 19 membuat persiapan bagi kejohanan Piala AFC 2021 di Wisma FAM, Petaling Jaya. FOTO Hazreen Mohamad
Firdaus Hashim


SELEPAS hampir 10 tahun Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP) diperkenalkan sudah tiba masanya hasil itu dituai dengan Kejuaraan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) B-19 di Tashkent, Uzbekistan, Oktober ini sebagai penanda aras.

Malaysia yang akan mempertaruhkan skuad kendalian Brad Maloney yang layak secara merit selepas melepasi pusingan kelayakan tahun lalu, majoritinya datang daripada sistem pembangunan NFDP.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, impak NFDP yang digerakkan sejak dahulu diharapkan mampu membuahkan hasil di saingan itu nanti.

Katanya lagi, bukan sekadar di Kejuaraan AFC B-19 itu, malah beliau turut mengharapkan pemain secara individu mampu menyerlah di saingan liga peringkat domestik atau di pentas luar negara.

"Sama ada mereka bermain di dalam atau luar negara, sudah tentu diharapkan mampu menjadi nilai tambahan kepada pasukan kebangsaan dan apa yang penting, hasil daripada pembangunan peringkat awal yang kita sudah jalankan sebelum ini.

"Kita adakan NFDP sebelum ini dan mahu melihat apakah keputusan walaupun saya bukanlah pemulanya kerana dimulakan menteri-menteri yang lalu.

"Permulaan ideanya datang daripada Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek sebelum idea itu digubal secara komprehensif di bawah Khairy Jamaluddin, mungkin kejayaannya nanti kita boleh tengok selepas banyak pelaburan dilakukan selepas tiga empat tahun lalu," katanya yang meninjau sesi latihan pasukan di Wisma FAM bersama Presiden badan induk itu, Datuk Hamidin Mohd Amin semalam.

Untuk rekod, NFDP dicetuskan oleh Menteri Belia dan Sukan pada 2010 lalu iaitu Shabery Cheek dan Timbalannya, Datuk Razali Ibrahim selepas skuad Harimau Malaya menjuarai Piala AFF pada tahun berkenaan.

Ia kemudiannya dijenamakan semula pada 2014 oleh Menteri Belia dan Sukan ketika itu, Khairy Jamaluddin dengan objektif utama adalah untuk melahirkan lebih ramai pemain berkualiti dan mencapai matlamat program iaitu layak ke Piala Dunia B-17 2019 di Brazil.

Bagaimanapun, sasaran itu tidak kesampaian apabila skuad B-16 tahun negara bimbingan Lim Teong Kim gagal melepasi peringkat kumpulan di Kejuaraan AFC B-16 di Kuala Lumpur dua tahun lalu, sekali gus gagal layak ke Piala Dunia B-17.

Sementara itu, melihat persiapan skuad B-19, beliau mengakui kagum dengan semangat serta kekuatan ditunjukkan pemain negara meskipun terpaksa menjalani latihan tanpa tanpa kontak.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Julai 2020 @ 8:13 PM