Sathianathan (kiri) anggap komen Teong Kim tidak profesional. FOTO NSTP
Sathianathan (kiri) anggap komen Teong Kim tidak profesional. FOTO NSTP
Firdaus Hashim


"JANGAN ingat saya dan jurulatih tempatan yang lain katak bawah tempurung".

Itu teguran Presiden Persatuan Jurulatih Bolasepak Malaysia (PJBM), B Sathianathan terhadap bekas pengendali skuad bawah 16 tahun negara (B-16), Lim Teong Kim yang memperkecilkan kredebilitinya selaku jurulatih berpengalaman.

Menurut Sathianathan yang pernah membimbing skuad Harimau Malaya muncul juara Pestabola Merdeka pada 2007 selain meraih beberapa kejuaraan liga domestik berkata, kenyataan Teong Kim amat tidak profesional dan kegagalan skuad B-16 layak ke Piala Dunia B-17 di Brazil adalah bukti kelemahannya membimbing pasukan remaja negara.

Lantas, seharusnya bekas pengendali akademi remaja Bayern Munich 2001-2013 itu tidak harus menuding jari ke arah orang lain di atas kegagalannya memenuhi sasaran berkenaan.

"Tentang perlawanan (Kejuaraan AFC B-16 membabitkan pasukan Malaysia di Kumpulan A) kita dah buat kajian dan melihat taktikal permainan bersama beberapa jurulatih ada kelemahan (dalam corak permainan).

"Sekarang pun dah video dan juga Youtube, boleh tengok banyak kali berulang-ulang. Tapi kalau dia ingat jurulatih tempatan katak bawah tempurung, saya ingat Bala (S Balachandran) lagi hebat," katanya kepada Arena Metro, hari ini.

Pada tahun lalu, skuad B-16 negara gagal melepasi peringkat Kumpulan A selepas menamatkan kedudukan di tangga tercorot di belakang Jepun, Tajikistan dan Thailand.

Biarpun pada aksi pertama pasukan muda negara membelasah Tajikistan 6-2, namun baki dua aksi selepas itu menyaksikan skuad kendalian Teong Kim hilang arah apabila tewas kepada Thailand (2-4) dan Jepun (0-2).

Kekalahan itu bukan saja meranapkan impian ke Piala Dunia, malah pencapaian berkenaan sebenarnya jauh lebih buruk daripada skuad 2014 bimbingan Balachandran yang hampir mencipta kejutan apabila mara ke suku akhir sebelum tumbang 1-2 kepada Australia.

Jelas Sathianathan lagi, kewujudan Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP) cetusan idea bekas Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin adalah tepat dan beliau menyokong sepenuhnya program berkenaan.

"Tak ada orang kacau NFDP atau AMD (Akademi Mokhtar Dahari) dan tak ada orang suruh berhenti sebaliknya semua orang sokong. Saya sendiri suka akan program ini kerana ia adalah program pembangunan.

"Jadi jangan putar belit kata macam-macam hentam beliau (Teong Kim) padahal kita bercakap sebab sayangkan bola sepak negara. Kalau ada kelemahan ambik ianya secara positif dan jangan salahkan orang lain," kata jurulatih Selangor itu.

Ketika ini Teong Kim masih bertugas di AMD selaku Pengarah dan kontraknya bakal tamat pada Oktober ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Julai 2019 @ 10:16 PM