Harith Haikal Adam. FOTO FAM
Harith Haikal Adam. FOTO FAM
Firdaus Hashim


KEKECEWAAN gagal membawa Malaysia beraksi di pentas Piala Dunia bawah 17 (B-17) tahun sekitar dua tahun lalu masih diingati sebagai kenangan yang paling memilukan buat tonggak pertahanan skuad B-19 tahun negara, Harith Haikal Adam.

Dia yang ketika itu bersama dengan skuad B-16 tahun negara kendalian Lim Teong Kim terkandas di peringkat kumpulan apabila sekadar meraih tiga mata untuk menghuni tangga tercorot Kumpulan A dalam pusingan akhir Kejuaraan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) B-16 di Kuala Lumpur.

Kegagalan itu sekali gus menyaksikan sasaran untuk layak ke Piala Dunia B-17 di Brazil pada tahun lalu berkecai biarpun sudah melakukan persiapan hampir lima tahun untuk menghadapi saingan itu.

Jelas Harith, kejayaan skuad B-19 negara mara ke Uzbekistan dalam Kejuaraan AFC B-19 pada Oktober nanti adalah kesempatan terbaiknya untuk membalas kekecewaan lalu dengan membantu pasukan layak secara merit ke Piala Dunia B-20 di Indonesia tahun depan.

Katanya, dia tidak mahu dikecewakan buat kali kedua dan berazam untuk memperagakan aksi terpuji sekali gus mengibarkan cabaran Malaysia di saingan tertinggi itu.

"Setiap pemain bola sepak mengidamkan bermain di Piala Dunia. Saya pun macam itu, lepas tak dapat bantu Malaysia dua tahun lalu, ini (Kejuaraan AFC B-19 di Uzbekistan) adalah peluang terbaik.

"Saya harap dapat bermain lagi dengan pasukan negara dan mahu bawa pasukan main di Piala Dunia tahun depan," katanya yang juga tonggak utama skuad B-19 tahun negara bimbingan Brad Maloney.

Harith yang diketepikan oleh Maloney dalam kem latihan fasa pertama ketika ini adalah pemain pertahanan tengah yang sering membarisi kesebelasan utama terutama ketika peringkat kelayakan AFC B-19 tahun lalu apabila menyaksikan pasukan negara muncul juara kumpulan.

Pemain kelahiran Klang, Selangor itu dijangka akan kembali pada latihan pusat fasa kedua September nanti bersama-sama beberapa tonggak lain seperti penyerang muda sensasi, Luqman Hakim Shamsudin.

Dia yang dinaikkan pangkat daripada pasukan Selangor II ke skuad utama Red Giants dalam saingan Liga Super mengakui akan menggunakan segala ilmu yang dikutip ketika berlatih dengan pemain senior Selangor.

"Saya masih muda tapi banyak pengalaman dan ilmu baru saya belajar lebih-lebih daripada pemain Selangor. Saya akan curahkan segala pengalaman itu untuk membantu pasukan B-19 di Uzbekistan," katanya.

Malaysia diletakkan dalam Kumpulan D bersama Qatar, Tajikistan dan Yaman di Uzbekistan nanti dengan sasaran pasukan adalah mara ke separuh akhir yang menjanjikan tiket ke Piala Dunia.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Julai 2020 @ 8:18 PM