MESSI (kiri) menerima cabaran daripada pemain tengah Mallorca, Takefusa Kubo. FOTO AFP
MESSI (kiri) menerima cabaran daripada pemain tengah Mallorca, Takefusa Kubo. FOTO AFP
AFP

LIONEL Messi meledak satu gol serta menjadi arkitek kepada dua jaringan ketika Barcelona mencatat kemenangan 4-0 ke atas Real Mallorca yang juga aksi pertama kelab gergasi itu selepas La Liga bersambung semula.

Selepas perlawanan ditangguhkan selama tiga bulan akibat pandemik Covid-19, Barcelona memerlukan 64 saat untuk di depan menerusi tandukan Arturo Vidal manakala Martin Braithwaite meledak gol kedua hasil bantuan Messi.

Jordi Alba kemudian menambah gol ketiga selepas menerima hantaran cantik daripada Messi sebelum bintang Argentina itu sendiri menjaringkan gol keempat pada masa kecederaan sekali gus gol ke-25 peribadinya musim ini.

"Saya gembira kerana kami bermula dengan baik dan ia meningkatkan semangat kami untuk menghadapi saingan seterusnya," kata jurulatih Barcelona, Quique Setien.

Kemengan itu menyaksikan Barcelona mengukuhkan kedudukan di tangga teratas liga dengan kelebihan lima mata berbanding Real Madrid.

Perlawanan pertama La Liga berlangsung Khamis lalu antara Sevilla dan Real Betis dengan setiap pasukan akan beraksi baki 11 perlawanan dalam tempoh kurang daripada enam minggu.

Messi menjadi tonggak penting Barcelona untuk mengekang tekanan daripada Real namun dia yang berusia 33 tahun bulan ini, dilihat perlu lebih berwaspada selepas dibayangi kecederaan sebelum ini.

Selepas gagal menghadiri sesi latihan, Messi diturunkan selama 90 minit permainan pada perlawanan hari ini.

Jaringan Messi dibantu oleh Luis Suarez yang masuk sebagai pemain gantian dan aksi pemain antarabangsa Uruguay itu melegakan Setien selepas dia menjalani pembedahan lutut, Januari lalu.

"Saya gembira melihat Suarez kembali beraksi. Anda perlu memberikan pujian kepada aksinya sepanjang 35 minit permainan selepas diturunkan," kata Setien.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Jun 2020 @ 7:57 AM