PEMAIN Barca meraikan kemenangan membelasah Huesca. -Foto EPA
PEMAIN Barca meraikan kemenangan membelasah Huesca. -Foto EPA
Reuters

BARCELONA: Lionel Messi dan Luis Suarez masing-masing menjaringkan dua gol ketika membelasah Huesca 8-2, manakala Real Betis menamatkan penantian 12 tahun untuk kemenangan ke atas seteru setempat Sevilla dengan kemenangan 1-0 di laman sendiri.

Valencia masih belum merakam kemenangan musim ini selepas terikat 2-2 di Levante, manakala Alaves bangkit daripada ketinggalan untuk menewaskan Espanyol.

Pendatang baharu La Liga, Huesca mendahului permainan pada kunjungan liga pertama ke Nou Camp menerusi penyerang Colombia, Cucho Hernandez tetapi Messi kembali menyamakan kedudukan.

Gol sendiri Jorge Pulido meletakkan Barca di depan dan Suarez melebarkan jurang dengan gol pertamanya dalam lima perlawanan selepas video bantuan pengadil (VAR) membatalkan kibaran ofsaid penjaga garisan.

Alex Gallar kemudian merapatkan jurang untuk Huesca sebelum rehat, tetapi tiga gol Barca dalam tempoh 11 minit menerusi Ousmane Dembele, Ivan Rakitic dan satu lagi daripada Messi menutup ruang untuk kebangkitan pelawat.

SUAREZ jaring gol kelapan Barca melalui sepakan penalti. -Foto Reuters
SUAREZ jaring gol kelapan Barca melalui sepakan penalti. -Foto Reuters

Jordi Alba melengkapkan persembahan cemerlang dengan menjaringkan gol ketujuh pasukannya selepas membantu membuat umpanan untuk dua gol awal, manakala Suarez menyempurnakan penalti dalam masa kecederaan selepas Messi menolak peluang untuk meledak hatrik.

Kemenangan besar itu melonjak Barca mengatasi Real Madrid di puncak La Liga dengan kelebihan perbezaan jaringan selepas tiga perlawanan.

“Kami lena di awal permainan tetapi gol mereka mengejutkan kami dan kami bertindak balas dengan baik,” kata Suarez.

“Memang bagus berada di puncak liga sebelum rehat perlawanan antarabangsa, tetapi paling menarik dalam kemenangan ini ialah melihat betapa bagus kami bermain.”

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 September 2018 @ 10:55 AM