GRIEZMANN (kanan) meraikan jaringannya bersama Messi. FOTO AFP
GRIEZMANN (kanan) meraikan jaringannya bersama Messi. FOTO AFP
AFP

ANTOINE Griezmann menutup kritikan terhadap dirinya apabila menjaringkan gol cantik ketika Barcelona menewaskan Villarreal 4-1 untuk menghidupkan peluang mempertahankan kejuaraan La Liga.

Selepas hanya dimasukkan pada minit ke-90 ketika bertemu bekas kelabnya, Atletico Madrid, Griezmann kembali dalam kesebelasan utama di Stadium La Ceramica dan membalas kepercayaan itu dengan gol cantik hasil hantaran Lionel Messi.

"Hanya pemain hebat mampu menjaringkan gol seperti itu. Dia beraksi dengan sangat baik," kata jurulatih Barcelona, Quique Setien.

Messi juga menjadi arkitek kepada gol Luis Suarez minit ke-20 selepas Gerard Moreno memadam jaringan sendiri Pau Torres minit ke-3 yang meletakkan Barcelona di depan.

Ansu Fati kemudian melengkapkan kemenangan bergaya Barcelona dengan menyumbang gol keempat minit ke-87.

Kemenangan meyakinkan itu menyaksikan anak buah Setien mengurangkan jurang kepada empat mata di belakang Real Madrid yang menduduki tangga teratas liga.

Real yang lebih berdisiplin dan mempamer aksi kemas menyaksikan mereka muncul pasukan pilihan untuk memenangi kejuaraan liga musim ini ketika berbaki empat perlawanan lagi.

"Kami perlu terus mengumpul mata dan sama-sama lihat apa yang berlaku di hujung musim," kata Setien.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Julai 2020 @ 9:18 AM