Bintang Portugal dan Juventus, Cristiano Ronaldo. FOTO File AFP
Bintang Portugal dan Juventus, Cristiano Ronaldo. FOTO File AFP
AFP

CRISTIANO Ronaldo kembali menjalani latihan bersama Juventus di Turin hari ini selepas tidak dapat melakukan sejak dua bulan lalu kerana pandemik Covid-19

Pemain berusia 35 tahun tiba seorang diri di Pusat Latihan Juventus dengan memandu Jeep bercermin gelap.

Pemenang lima kali Ballon d'Or menjalani pemeriksaan perubatan dan ujian fizikal sebelum menyertai latihan bersama rakan sepasukannya menurut laporan media.

Pemain Juventus kembali menjalani sesi latihan individu pada 4 Mei lalu, pada hari Ronaldo tiba di Itali selepas pulang ke negaranya Portugal sepanjang perintah berkurung.

Sejak dua minggu lalu, dia menjalani pengasingan di kediamannya di Turin.

Ronaldo beraksi untuk Juventus pada perlawanan terakhir Serie A sebelum ia ditangguhkan, ketika mencatat kemenangan 2-0 ke atas Inter Milan dalam perlawanan tertutup di Stadium Allianz pada 8 Mac lalu.

Itali antara negara yang terjejas teruk kerana pandemik Covid-19 dengan lebih 32,000 kematian dicatatkan.

Juventus mendahului Lazio dengan satu mata di puncak liga ketika mereka mensasarkan kejuaraan kesembilan Scudetto.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Mei 2020 @ 6:55 PM