Pemain Selangor, Brendan Gan mengawal bola ketika perlawanan Liga Super di Stadium Nasional Bukit Jalil. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
Pemain Selangor, Brendan Gan mengawal bola ketika perlawanan Liga Super di Stadium Nasional Bukit Jalil. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
Firdaus Hashim


SELANGOR berjaya mengelak daripada kekalahan apabila jaringan penyamaan penyerang importnya, Ifedayo Olusegun membolehkan seri 1-1 menentang Perak di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam ini.

Aksi kedua Liga Super membabitkan kedua-dua 'jiran tetangga' itu sememangnya dinanti-nantikan terutama selepas masing-masing memulakan kempen musim ini dengan langkah kanan minggu lalu.

Selangor yang bertandang ke Kuantan berjaya mengejutkan Pahang 2-1 manakala Perak yang berkunjung ke Terengganu turut meraih tiga mata selepas menewaskan skuad Penyu 3-1.

Lantas, pertembungan di venue sementara di Bukit Jalil ini ekoran masalah bumbung bocor di Stadium Shah Alam itu berlangsung cukup sengit dengan masing-masing mahu meneruskan rentak kemenangan pada aksi ini.

Bagaimanapun, Selangor dikejutkan terlebih dahulu dengan jaringan pelawat yang disumbangkan oleh Shahrel Fikri yang pernah meraih pengalaman beraksi di Liga Satu Thailand bersama kelab Nakhon Ratchasima pada 2018.

Jaringan Shahrel itu berpunca daripada larian pantasnya yang berjaya menewaskan dua pertahanan sebelum meledak tepat untuk meletakkan pelawat di depan seawal minit kesembilan.

Tuan rumah yang dibimbing B Sathianathan kembali memperkemaskan aksi dan hasilnya Ifedayo bangkit menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-31 sekali gus kekal hingga menuju ke bilik persalinan.

Memasuki babak kedua, skuad Merah Kuning melakukan beberapa pertukaran dalam usaha memburu gol kedua namun segala usaha itu gagal apabila anak buah Mehmet Durakovic tenang bertahan hingga ke wisel penamat.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Mac 2020 @ 11:29 PM