Pemain Sri Pahang FC, Baqiuddin Shamsudin(kiri) diasak pemain Selangor FC, Oliver Buff (kanan) pada perlawanan Liga Super di Stadium MBPJ. FOTO Eizairi Shamsudin
Pemain Sri Pahang FC, Baqiuddin Shamsudin(kiri) diasak pemain Selangor FC, Oliver Buff (kanan) pada perlawanan Liga Super di Stadium MBPJ. FOTO Eizairi Shamsudin
Syazwan Msar


Petaling Jaya: Selangor FC jelas memberi amaran bahawa mereka tampil dengan barisan lebih mantap pada musim ini apabila membenam Sri Pahang 3-1 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), sebentar tadi.

Jelas kehadiran bekas tonggak Perak, Muhammad Shahrel Fikri Md Fauzi menjadi duri dalam daging buat pasukan pelawat apabila berjaya kucar kacirkan pertahanan lawan sepanjang tempoh perlawanan berlangsung.

Separuh masa pertama menyaksikan tuan rumah hampir menggegarkan gol lawan seawal minit 15 menerusi rembatan Wan Zack Haikal Wan Nor namun berjaya ditepis penjaga gol Sri Pahang, Mohd Helmi Eliza sekali gus memberi kelegaan buat skuad Tok Gajah.

Helmi seharusnya diberikan pujian apabila berjaya mengelak Sri Pahang kalah menerusi jaringan lebih besar dengan menyelamatkan sekurang-kurangnya empat percubaan tepat ke gol menerusi Shahrel Fikri dan Ifedayo Olusegun.

Namun, gawang skuad Tok Gajah akhirnya bocor pada penghujung babak pertama apabila tonggak import, Oliver Buff meletakkan tuan rumah di depan menerusi rembatan dari luar kotak penalti untuk mendahului 1-0.

Separuh masa kedua menyaksikan, kedua-dua pasukan mengubah taktikal dengan mula melakukan serangan bertali arus.

Jelas sekali Selangor lebih bijak manfaat peluang yang terhidang apabila menjarakkan kedudukan menerusi tandukan Shahrel Fikri pada minit 56 untuk kedudukan 2-0.

Buff terus menambah derita pasukan pelawat apabila menyumbat gol ketiga Selangor FC pada penghujung babak kedua sekali gus memastikan tiga mata milik tuan rumah.

Gol saguhati pelawat pula dijaringkan oleh tonggak Sri Pahang, Muhamad Nor Azam Azih menerusi sepakan percuma pada minit 69.

Sementara itu, perlawanan di Stadium UiTM menyaksikan Terengganu FC (TFC) menewaskan UiTM FC 2-1.

UiTM FC terlebih dahulu berada di depan apabila menjaringkan gol pembukaan menerusi Mohd Fauzi Abdul Latif pada minit 33.

Tersentak dengan jaringan itu, TFC bangkit pada separuh masa kedua apabila meledak dua gol dalam tempoh 10 minit menerusi David Da Silva (m-77) dan pemain gantian, Mohamad Hakimi Abdullah pada minit ke-87 untuk kedudukan kekal 2-1 hingga perlawanan tamat.

Keputusan perlawanan:

LIGA SUPER

Penang FC 1 KL City FC 0

UiTM FC 1 TFC 2

Selangor FC 3 Sri Pahang FC 1

Melaka United 1 Sabah FC 1

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Mac 2021 @ 11:22 PM