PEMAIN Melaka United, Oti (tengah) melakukan rembatan ke arah penjaga gol PJ City, Kalamullah FOTO Bernama
PEMAIN Melaka United, Oti (tengah) melakukan rembatan ke arah penjaga gol PJ City, Kalamullah FOTO Bernama
Nazri Abu Bakar


Melaka: Melaka United gagal meneruskan rentak kemenangan selepas sekadar seri 2-2 ketika berdepan PJ City pada aksi Liga Super di Stadium Hang Jebat, Paya Rumput malam tadi.

Selepas menang bergaya ke atas Selangor dua minggu lalu di gelanggang sama Melaka bermula garang dengan melakukan asakan dan percubaan bahaya ke kubu pelawat seawal minit ke-9 menerusi penjaring terbanyak musim lalu, Ifedayo Olusegun namun rembatannya tinggi melepasi palang gol.

Malah mereka terus mencipta peluang dua minit selepas itu menerusi percubaan Fadli Shas namun kali ini berjaya diselamatkan penjaga gol PJ City, Kamullah Al Hafiz Mat Rowi.

Peluang terbaik skuad Hang Tuah mendahului lawan hadir pada minit ke -13 namun tolakan Mohd Syukri Baharun yang hanya berdepan Kalamullah tersasar ke kanan gawang PJ City.

Bagaimanapun, pelawat juga turut memiliki peluang untuk mencipta jaringan pendahuluan namun percubaan bekas pemain kebangsaan Khyril Muhymeen Zambri diselamatkan penjaga gol Bryan See.

Penguasaan barisan tengah Melaka dalam babak awal perlawanan akhirnya membuahkan hasil selepas Emmanuel Oti membuka jaringan pertama pada minit ke-36 bagi memastikan tuan rumah terus bersemangat memburu mata maksimum.

Gol terbabit berpunca daripada hantaran Ifedayo bagi membolehkan Oti menewaskan tiga pertahanan lawan untuk merembat kencang menewaskan Kalamullah.

Apapun, kelebihan Melaka dipadamkan menerusi jaringan penyerang kebangsaan Darren Lok pada minit ke-43 selepas mengutip kesilapan pertahanan tuan rumah untuk meledak jaringan penyamaan sebelum ke bilik persalinan.

Bersambung babak kedua, gerakan kedua-dua pasukan terus rancak untuk mencari jaringan kedua masing-masing namun buntu walaupun Ifedayo paling hampir meletakkan Melaka di depan pada minit ke-57 tetapi rembatannya tersasar.

Percubaan itu bagaimanapun meningkatkan aksi Lebih agresif pelawat walaupun tidak memiliki barisan import untuk melakukan kejutan ke atas tuan rumah selepas rembatan cantik kapten pasukan, K Gurusamy berjaya menerjah jaring Melaka untuk gol kedua mereka pada minit ke-70 perlawanan.

Apapun, skuad Hijau Putih jelas bangkit dari ketinggalan bagi memastikan mereka tidak hampa di laman sendiri selepas kapten pasukan Sony Norde melakukan percubaan menarik untuk gol penyamaan pada minit ke-76 aksi.

Selepas jaringan terbabit kedua-dua pasukan cuba untuk mencari tambahan jaringan bagi memisahkan meleraikan keputusan seri, namun semua usaha mereka gagal membuahkan hasil untuk masing-masing merekodkan satu mata.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Julai 2022 @ 11:28 PM