Pemain UiTM FC Muhammad Faizal Mohd Arif (kiri) mengasak pemain Melaka, Sony Norde (kanan) pada aksi Liga Super. FOTO Bernama
Pemain UiTM FC Muhammad Faizal Mohd Arif (kiri) mengasak pemain Melaka, Sony Norde (kanan) pada aksi Liga Super. FOTO Bernama
Firdaus Hashim


MELAKA United menepati ramalan apabila mudah membenam tentangan pendatang baharu Liga Super, UiTM FC, 2-0 di Stadium Mini UiTM, Shah Alam, malam ini.

Ia sekali gus menyaksikan anak buah Zainal Abidin Hassan itu membuka saingan liga musim ini dengan tiga mata sementara UiTM FC terpaksa akur tewas pada penampilan pertama dalam saingan divisyen utama itu.

Bagaimanapun, kemenangan skuad Hang Tuah itu bukan hadir dengan mudah apabila pasukan tuan rumah yang mendapat sentuhan pengendali dari Jerman, Frank Bernhardt nyaris mengejutkan pelawat yang dilimpahi pemain-pemain ternama.

Pada perlawanan berkenaan, UiTM FC yang dianggotai sebahagian besar pelajar memperaga aksi cukup kemas terutama di bahagian pertahanan yang tenang menyerap asakan berbahaya pelawat.

Namun, pengalaman jelas memisahkan kedua-dua pasukan apabila Melaka United terlebih dahulu beroleh gol menerusi jaringan Sony Norde pada minit ke-28.

Bekas pemain JDT, Safiq Rahim terus menggerakkan jentera tengah Melaka United dengan beberapa siri serangan namun ia berjaya dihalang pertahanan tuan rumah untuk menamatkan aksi babak pertama memihak pelawat.

Bersambung separuh masa kedua, Zainal dan Bernhardt melakukan beberapa pertukaran dan hasilnya pelawat berjaya menambah gol kedua pada masa kecederaan menerusi sentuhan tonggak import, Romel Morales.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Februari 2020 @ 11:48 PM