Pemain pasukan UiTM FC Muhamad Arif Mohamed Anwar (kanan) meraikan gol pertama buat pasukannya. FOTO BERNAMA
Pemain pasukan UiTM FC Muhamad Arif Mohamed Anwar (kanan) meraikan gol pertama buat pasukannya. FOTO BERNAMA
Firdaus Hashim

Kuala Lumpur: Pengendali UiTM FC, Frank Bernhardt menegaskan tiada apa yang mustahil dalam bola sepak termasuk peluang untuk menamatkan kedudukan di tangga kedua Liga Super musim ini.

Bersaing dengan 11 pasukan yang memiliki bajet dan reputasi hebat selain penggunaan pemain bertaraf profesional langsung tidak mematahkan motivasi pasukan UiTM yang rata-rata adalah pelajar dan pemain separuh profesional.

Begitupun, anak buah Bernhardt membuktikan sebaliknya apabila wang bukanlah segala-galanya tetapi semangat dan penerapan taktikal yang tepat adalah kunci kejayaan skuad The Lion Troops itu.

Kemenangan terbaharu mengejutkan Terengganu FC 2-1 di Stadium Mini UiTM Shah Alam, malam kelmarin berjaya melonjakkan kedudukan pasukan Universiti itu di tangga ketiga dengan 13 mata.

"Segalanya berkemungkinan (tamatkan saingan tempat kedua), tapi bagi saya apa yang lebih penting adalah tiga mata.

"Kerana yang penting kami dah terlepas daripada zon penyingkiran dan itu adalah sasaran awal kami.

"Apa yang akan berlaku selepas ini kami akan hadapinya. Buat masa ini, pemain perlukan rehat dan pasukan akan ambil pendekatan satu demi satu perlawanan, dan lihat kedudukan carta liga dari semasa ke semasa," kata pengendali yang berasal dari Jerman itu.

Dalam aksi yang berlangsung sengit itu, tuan rumah terlebih dulu mendahului menerusi Arif Anuar pada minit keempat sebelum pelawat menyamakan jaringan hasil sepakan penalti Lee Tuck di minit ke-38.

Tonggak import UiTM, Victor Nirennold muncul wira pasukan apabila meledak gol kemenangan menerusi satu sepakan voli menarik pada minit ke-60 yang gagal dihalang penjaga gol pelawat.

Sementara itu, jurulatih Terengganu FC, Nafuzi Zain mengakui tuan rumah lebih bersedia dan berhak untuk meraih tiga mata.

"Lawan UiTM bukannya mudah, tempo yang tinggi, kita tahu mempunyai 'work rate' pemain muda yang bagus serta pemain import yang memiliki kelebihan fizikal, dan malam ini (kelmarin) adalah aksi sukar untuk kami.

"Pemain saya bermain dengan baik, mencipta peluang dan sebagainya tetapi ada beberapa moment yang pemain saya leka dan dihukum. Kami tidak memanfaatkan peluang yang ada," kata Nafuzi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 September 2020 @ 1:26 PM