KAPTEN Perak, Leandro Dos Santos (tengah) mengawal bola ketika menentang pasukan Melaka United pada saingan Liga Super. FOTO Bernama
KAPTEN Perak, Leandro Dos Santos (tengah) mengawal bola ketika menentang pasukan Melaka United pada saingan Liga Super. FOTO Bernama
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Ipoh: Hasrat Perak FC untuk memburu tiga mata penuh pada saingan Liga Super menentang Melaka United FC di Stadium Perak, sebentar tadi tidak kesampaian apabila tewas 0-1.

Keputusan itu meletakkan Melaka United berada di kedudukan kelapan liga mengatasi Perak FC yang kini di kedudukan ke-10.

Babak pertama perlawanan boleh dianggap seimbang meskipun kedua-dua pasukan melancarkan beberapa serangan berbahaya, namun buntu untuk menghasilkan gol yang diharapkan.

Ia termasuk peluang pemain pertahanan, Mohamad Izzuddin Mohd Roslan seawal minit kedua melalui rembatan deras namun berjaya ditepis Norazlan Razali yang menjaga gawang pelawat.

Melaka di bawah bimbingan Zainal Abidin Hassan melakukan asakan balas melalui pemain tengahnya, Ahmad Syamim Yahya empat minit kemudian menerusi hantaran lambung namun sedikit tersasar menembusi gawang tuan rumah.

Separuh masa pertama menyaksikan kedua-dua pasukan seri tanpa jaringan.

Melaka memecah kebuntuan apabila memperoleh gol menerusi pemain tengah, Wan Zharulnizam Wan Zakaria minit ke-61 dan kedudukan 1-0 kekal sehingga tamat perlawanan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 April 2021 @ 12:34 AM