Yulimar Rojas. FOTO File Reuters
Yulimar Rojas. FOTO File Reuters
AFP

ATLET Venezuela, Yulimar Rojas mencatat rekod baharu dunia 15.43m dalam acara lompat kijang wanita dalam dewan pada aksi berlangsung di Madrid, awal pagi ini.

Juara dunia berusia 24 tahun itu mengatasi rekod dunia sebelum ini 15.36m yang dilakukan atlet Russia, Tatyana Lebedeva di Budapest pada Mac 2004.

Catatan terbaharu Yulimar turut meninggalkan dirinya hanya kurang tujuh sentimeter daripada rekod dunia dalam dewan iaitu 15.50m oleh atlet Ukraine, Inessa Kravets di Gothenburg sekitar 1995.

“Tokyo tidak begitu jauh lagi,” kata Yulimar kepada stesen televisyen Sepanyol, TVE sebagai tanda persediaan menjelang Sukan Olimpik 2020.

“Kami akan terus berlatih dan kekal fokus.”

Juara dunia itu memulakan catatan dengan lompatan yang dibatalkan sebelum melakar 14.65m pada pusingan kedua.

Selepas dibatalkan sekali lagi pada pusingan ketiga, dia mencatat 15.29m dalam pusingan empat, memecahkan rekod peribadi dalam dewan Amerika Selatan dan menduduki tempat kedua dalam senarai catatan tertinggi acara dalam dewan.

Disusuli percubaan ketiga yang dibatalkan pada pusingan lima, Yulimar yang dilatih bekas juara dunia dan Olimpik dari Cuba, Ivan Pedrosa, berjaya melakukan pada percubaan keenam dan terakhir petang itu.

Rakan pelatih dari Cuba, Liadagmis Povea di tempat kedua dengan 14.52m sementara atlet Portugal, Patricia Mamona di tempat ketiga dengan catatan terbaiknya 14.28m.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Februari 2020 @ 9:50 AM