ZANGO berjaya memadam rekod lompat kijang dunia dalam dewan yang dilakukan jurulatihnya pada 2011. FOTO Agensi
ZANGO berjaya memadam rekod lompat kijang dunia dalam dewan yang dilakukan jurulatihnya pada 2011. FOTO Agensi
AFP

Paris: Atlet Burkina Faso, Hugues Fabrice Zango mencatat rekod baru dunia lompat kijang dalam dewan apabila melakukan lompatan 18.07 meter (m) di Kejohanan d'Aubiere.

Pemenang pingat gangsa kejohanan dunia dan pemegang rekod Afrika itu melakukan lompatan cemerlang pada percubaan terakhir, sekali gus mengetepikan catatan sebelum ini dengan kelebihan 15 sentimeter yang dilakukan jurulatihnya dari Perancis, Teddy Tamgho (17.92m) di Kejohanan Dalam Dewan Eropah di Paris pada 2011.

Rekod berkenaan juga adalah catatan pertama Zango yang melebihi 18 meter bagi saingan dalam dewan.

Atlet berusia 27 tahun itu bermula dengan lompatan yang dibatalkan namun memperbaikinya di percubaan kedua dengan catatan 17.33m.

Selepas sekali lagi tidak dikira pada lompatan ketiga, dia bangkit dengan melakukan catatan 17.61m dan 17.70m.

Akhir sekali dia berjaya melakukan lompatan cemerlang di percubaan keenam dan terakhir.

Wakil Britain, Jonathan Edwards masih lagi memegang rekod dunia untuk acara luar dewan, dengan catatan 18.29m yang dilakukan di Gothenburg pada 1995.

Selain Zango dan Edwards, hanya lima atlet lain yang berjaya melakukan catatan lebih 18m, iaitu atlet Amerika Syarikat, Christian Taylor (18.21), Will Claye (18.14) dan Kenny Harrison (18.09), wakil Cuba, Pedro Pablo Pichardo (18.08) dan Tamgho (18.04).

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 January 2021 @ 11:55 PM