Atlet Venezuela, Yulimar Rojas memenangi pingat emas pada Kejohanan Olahraga Dunia di Doha. FOTO Reuters
Atlet Venezuela, Yulimar Rojas memenangi pingat emas pada Kejohanan Olahraga Dunia di Doha. FOTO Reuters
Reuters

ATLET Venezuela, Yulimar Rojas mengekalkan kejuaraan acara lompat kijang wanita, awal pagi ini, selepas mempamerkan dua percubaan dalam lompatan yang melepasi 15 meter (m).

Atlet berusia 23 tahun itu menang dengan lompatan selesa sejauh 15.37m, hanya empat sentimeter mengatasi lompatan kedua terjauh dalam sejarah yang dicatatkannya di Sepanyol bulan lalu.

Wakil Jamaica, Shanieka Ricketts memenangi perak dengan 14.92m dan Colombia, Caterine Ibarguen, juara Olimpik dan pencabar terdekat Yulimar pula menduduki tempat ketiga dengan 14.73m.

Yulimar adalah atlet tunggal Venezuela yang memenangi kejuaraan olahraga dunia dan dia berkata kejayaannya itu mampu menjadi inspirasi kepada negaranya yang berdepan isu politik dan krisis ekonomi yang menyebabkan anggaran empat juta warga negaranya meninggalkan negara itu.

“Saya berjuang untuk negara saya, untuk meletakkan profil Venezuela di mata dunia dan saya fikir orang ramai akan gembira dengan apa yang saya lakukan,” katanya.

“Ia membuatkan saya gembira dan memberikan sedikit keceriaan kepada negara sendiri dan kanak-kanak dipengaruhi oleh saya dan setiap hari kanak-kanak melihat pencapaian saya sebagai contoh.. salah satu contoh bahawa rakyatnya mampu pergi lebih jauh.”

Yulimar yang menjalani latihan di Sepanyol bersama bekas atlet lompat jauh Cuba, Ivan Pedroso, berkata dia mahu cuba mengatasi rekod dunia iaitu 15.50m yang dilakukan atlet Ukraine, Inessa Kravets pada 2015 dan memenangi pingat emas pada Olimpik tahun depan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 Oktober 2019 @ 1:31 PM