ATLET Nigeria, Tobi mencatat rekod dunia di separuh akhir sebelum memenangi pingat emas acara 100m lari berpagar wanita di Kejohanan Olahraga Dunia, hari ini. FOTO REUTERS
ATLET Nigeria, Tobi mencatat rekod dunia di separuh akhir sebelum memenangi pingat emas acara 100m lari berpagar wanita di Kejohanan Olahraga Dunia, hari ini. FOTO REUTERS
Reuters

Eugene: Atlet Nigeria, Tobi Amusan memenangi pingat emas acara 100 meter (m) lari berpagar wanita di Kejohanan Olahraga Dunia, hari ini, dengan catatan 12.06 saat (s), tetapi tidak diiktiraf sebagai rekod dunia baharu kerana kelajuan angin melebihi had dibenarkan.

Sebelum itu, Tobi memecahkan rekod dunia dengan catatan 12.12s di separuh akhir di Hayward Field.

Dia bangkit selepas permulaan perlahan untuk menamatkan perlumbaan 0.17s di depan pemenang pingat perak dari Jamaica, Britany Anderson.

"Sasaran saya adalah turun dan menang pingat emas ini," kata Tobi.

"Saya percaya dengan kemampuan sendiri, tetapi tidak menjangkakan rekod dunia di kejohanan ini. Anda tahu, matlamatnya adalah mencapai keputusan terbaik dan menang. Jadi, rekod dunia adalah bonus."

Juara Olimpik dari Puerto Rico, Camacho-Quinn bermula pantas, tetapi ketinggalan di belakang Britany selepas terlanggar pagar terakhir untuk memenangi gangsa pada penampilan pertama di Kejohanan Dunia.

"Sejujurnya, saya agak risau. Ia boleh dilihat pada wajah saya, tetapi saya gembira dapat bertanding di sini," kata Camacho-Quinn.

"Sejak saat ini, ia akan menjadi lebih pantas lagi. Saya fikir, kami mengharungi acara terbaik di keseluruhan kejohanan."

Acara akhir itu berlangsung tanpa dua atlet Amerika Syarikat (AS) iaitu juara 2019, Nia Ali dan pencabar medal, Alaysha Johnson selepas mereka terlanggar pagar dan tersingkir di peringkat pembukaan.

Pemenang pingat perak Olimpik dari AS, Kendra Harrison, yang menyaksikan rekod dunia miliknya pada 2016 dipecahkan Tobi di separuh akhir, dibatalkan penyertaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Julai 2022 @ 9:08 AM