LAMPARD (kiri) ketika menyaksikan perlawanan pusingan keempat Piala FA bertemu Hull. FOTO AFP
LAMPARD (kiri) ketika menyaksikan perlawanan pusingan keempat Piala FA bertemu Hull. FOTO AFP
AFP

FRANK Lampard menggesa Chelsea menyokongnya untuk mendapatkan pemain baru selepas pasukan mencatat kemenangan 2-1 ke atas Hull pada pusingan keempat Piala FA hari ini.

Lampard dilihat kecewa dengan kegagalan barisan pemainnya merobek gawang lawan pada musim pertama membimbing kelab itu dan beliau percaya dengan mendapatkan pemain baru ia akan dapat menyelesaikan masalah itu.

Pengurus Chelsea itu menyaksikan pasukannya mendominasi perlawanan ketika bertemu Hull hasil jaringan Michy Batshuayi dan Fikayo Tomori

Bagaimanapun Chelsea sepatutnya mampu meledak lebih banyak gol selepas mensia-siakan beberapa peluang terbaik dan jaringan Kamil Grosicki pada lewat permainan mencetuskan resah di kem Chelsea.

Lampard percaya pemain baru amat diperlukan selepas kelab itu gagal untuk mendapatkan pengganti Eden Harzard yang menyertai Real Madrid pada musim perpindahan lalu.

“Cabaran baru akan hadir selepas ini. Jelas sekali kami dihukum kerana gagal mendapatkan pemain baru selepas kehilangan salah seorang pemain terbaik dalam kelab ini (Hazard).

“Kami perlu mendapatkan pemain baru untuk mencabar kelompok empat terbaik liga.

“Saya tidak mempunyai kuasa untuk mengeluarkan wang tetapi saya harus bersikap jujur dan benar,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 January 2020 @ 9:03 AM