LAMPARD enggan mengulas spekulasi mengaitkannya sebagai pengganti Sarri. FOTO/AGENSI
LAMPARD enggan mengulas spekulasi mengaitkannya sebagai pengganti Sarri. FOTO/AGENSI
Reuters

KEKALAHAN besar 6-0 Chelsea kepada Manchester City mengejutkan jurulatih Derby County, Frank Lampard namun bekas pemain tengah legenda itu enggan mengulas spekulasi mengaitkannya sebagai pengganti Maurizio Sarri di Stamford Bridge.

Chelsea mengalami kekalahan terburuk dalam Liga Perdana pada Ahad lalu dan Sarri dijangka menjadi pengurus seterusnya yang akan dipecat dengan Lampard dan Zidane antara calon pilihan menggantikannya.

Lampard yang juga penjaring terbanyak Chelsea sepanjang zaman dengan 211 gol berkata, dia kekal fokus melakukan yang terbaik bersama Derby dan yakin Chelsea mampu bangkit daripada kekalahan itu yang menyaksikan mereka jatuh ke tangga keenam liga.

"Sudah pasti saya hormati kelab ini, jadi ia tidak akan membuat saya senyum kerana tugas saya di sini,” kata bekas pemain antarabangsa England itu.

"Saya bekerja keras dan seluruh fikiran saya mengenai Ipswich Town pada Rabu ini dan berkunjung ke Brighton untuk aksi pusingan kelima Piala FA hujung minggu ini.”

Lampard yang pasukannya berada di tangga ketujuh Championship berkata, Chelsea ditewaskan oleh sebuah pasukan hebat.

"Memang tidak bagus dan jarang berlaku ke atas Chelsea, jadi sudah tentu kekalahan itu mengejutkan,” katanya.

"Paling penting anda perlu bangkit dengan kuat tidak kira apa jenis kekalahan. Itu yang menjadikan kelab itu kuat dan Chelsea memilikinya.”

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Februari 2019 @ 10:54 PM