Oleh Saiful Affendy Sapran

Kuala Lumpur: Final Piala TNB hari ini bukan saja mempertemukan dua pasukan gergasi, malah juga menjadi pentas membuktikan taktikal siapakah lebih unggul membabitkan pengendali Kelab Hoki Kuala Lumpur (KLHC) Muhammad Dhaarma Raj Abdullah serta Sarjit Singh dari Terengganu Hockey Team (THT).

Bagi Dhaarma, final hari ini adalah yang ke-15 untuknya sepanjang menjadi jurulatih dalam tempoh 17 tahun terbabit dengan kancah arena hoki tempatan.

Daripada 14 penampilan final sebelum ini, beliau berjaya mengecapi kejayaan sebanyak lima kali sementara Sarjit pula hadir dengan reputasi gah berjaya membimbing THT muncul juara Piala TNB musim lalu dengan menewaskan KLHC dan pasti akan berusaha sedaya upaya mempertahankan piala berprestij itu, hari ini.

“Saya sudah melalui banyak pengalaman pada aksi final. Perlawanan esok (hari ini) bakal menentukan sama ada saya akan dapat membantu pasukan memenangi kejuaraan buat kali kelima atau sebaliknya.

“Apapun, saya sedar ia pasti final yang cukup sukar,” kata Dhaarma.

Sarjit juga berpendapat pertemuan dengan KLHC sentiasa sukar dan untuk mempertahankan kejuaraan bukan semudah yang disangka.

“Selepas tewas kepada kami pada perlawanan terakhir liga, saya dapat lihat kesungguhan KLHC untuk memenangi Piala TNB,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 September 2015 @ 5:04 AM