Kuala Lumpur: “Saya tak pernah menyerah kalah. Kami akan berusaha mendapatkan tiga mata penuh.”

Demikian nada ketua jurulatih Kelab Hoki Kuala Lumpur (KLHC) Muhammad Dhaarma Raj Abdullah menjelang pertemuan getir dengan Terengganu Hockey Team (THT) untuk merebut Piala Sumbangsih, esok.

Meskipun situasi dilalui Dhaarma ketika ini cukup sukar kerana tidak mampu mempersiapkan pasukan lebih awal, bekas pengendali skuad kebangsaan itu tetap menaruh keyakinan kepada barisan pemainnya untuk memenangi perlawanan bertemu THT sekali gus mempertahankan kemenangan musim lalu selepas menewaskan TNB.

“Persiapan kami tidak berjalan baik kerana hanya baru beberapa hari kami semua pemain dapat berkumpul bersama.

“Pemain import pun baru saja menyertai pasukan. Sebab itu saya sendiri tak nampak lagi keserasian dalam pasukan ini.

“Kalau boleh saya memang tidak mahu bertemu THT pada perlawanan pertama liga, tapi kami terpaksa juga sebab ini perlawanan Piala Sumbangsih.

“Apa yang saya katakan ini adalah situasi sebenar pasukan ketika ini. Tapi saya tidak pernah menyerah kalah lebih awal,” katanya.

Sementara itu, pengendali THT Sarjit Singh berkata, pertemuan dengan KLHC pasti sentiasa menjanjikan cabaran sengit.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 Julai 2015 @ 9:22 AM