Razlan Razali (duduk depan dua dari kiri) bersama pelumba EWC dan WTCR di Dataran Merdeka. FOTO Eizairi Shamsudin
Razlan Razali (duduk depan dua dari kiri) bersama pelumba EWC dan WTCR di Dataran Merdeka. FOTO Eizairi Shamsudin
Meor Riduwan Meor Ahmad


“PERARAKAN ketika waktu puncak trafik dan menyaksikan beberapa pelumba motosikal berusaha mengawal jentera mereka daripada mengalami kepanasan melampau amat mengagumkan.

Tapi ini yang akan kami buat dalam perlumbaan di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) pada Sabtu dan Ahad ini," kata Ketua Pegawai Eksekutif SIC Datuk Razlan Razali dalam ucapan alu-aluan pada program 'Down Town City Parade' di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur malam tadi.

Program disertai sebahagian pelumba dan pemandu diadakan sempena penganjuran 'Race Of Malaysia' membabitkan dua perlumbaan iaitu Kejuaraan Endurance Dunia (EWC) Persekutuan Motosikal Antarabangsa (FIM) dan Perlumbaan Kereta Piala Touring Dunia (WTCR) Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA) hujung minggu ini.

Acara penuh meriah itu bermula dengan perarakan 16 motosikal dan lapan kereta bermula dari Pusat Pelancongan Malaysia (MaTiC) ke Dataran Merdeka.

"Saya berharap semua pelumba dan pemandu terutama dari Malaysia berlumba dengan sebaik mungkin. Cuaca di SIC tidak sesejuk malam ini tapi sangat panas, jadi saya berharap anda semua bersedia terutama untuk perlumbaan selama lapan jam," kata Razlan.

Pada program itu, pasukan perlumbaan FIM EWC dan FIA WTCR yang kebanyakannya baharu diperkenalkan kepada peminat tempatan yang turut mengambil kesempatan merakam gambar bersama pelumba dan jentera perlumbaan.

Menurut Razlan, SIC berhasrat membawa acara kejohanan dunia ke Malaysia yang bukan saja untuk perlumbaan tetapi menyediakan platform kepada bakat tempatan untuk beraksi di peringkat dunia.

Antara yang bakal memeriahkan saingan EWC adalah bekas jaguh MotoGP negara, Hafizh Syahrin Abdullah.

Sesi kelayakan WTCR dijadual bermula pada Jumaat dan perlumbaan akan bermula pada Ahad, manakala perlumbaan EWC pula pada Sabtu.

Tiket Main Grandstand berharga RM220 manakala pas memasuki paddock pula bernilai RM450.

Peminat boleh mendapatkan secara atas talian menerusi laman sesawang www.sepangcirciut.com atau pembelian di kaunter SIC.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Disember 2019 @ 12:52 PM