PEKERJA pembaiki jalan sedang membaiki litar SIC. FOTO/AFP
PEKERJA pembaiki jalan sedang membaiki litar SIC. FOTO/AFP
Fadhli Ishak


SEPANG International Circuit (SIC) memberi jaminan Grand Prix Motosikal Dunia (MotoGP) dari 27 hingga 29 Oktober ini tidak akan terjejas dengan isu keselamatan seperti yang terjadi pada GP Formula Satu awal bulan ini.

Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Datuk Razlan Razali berkata, pemeriksaan teliti di litar akan dijalankan menjelang perlumbaan itu bagi memastikan semua perkara diberi perhatian.

Pemandu Haas, Romain Grosjean terlanggar penutup longkang ketika sesi latihan bebas yang menyaksikan tayar belakang di sebelah kanan meletup, menyebabkan dia terbabas di penghadang litar di Litar Sepang.

“Semua isu berkaitan dengan penutup longkang sudah diselesaikan ketika acara F1 itu sendiri, bagaimanapun kami akan terus memantau semua aspek dengan lebih terperinci,” kata Razlan pada sidang media hari ini.

“Kami turut akan memaklumkan kepada FIM mengenai apa yang berlaku pada perlumbaan F1. FIM juga akan melaksanakan pemeriksaan sendiri di litar menjelang perlumbaan.

“Hakikatnya, pemeriksaan FIM kebiasaannya lebih sukar untuk diluluskan dan lebih terperinci berbanding FIA disebabkan perlumbaan motosikal lebih terdedah kepada situasi berbahaya.”

Razlan menyatakan SIC menyasarkan 100,000 penonton pada hari perlumbaan MotoGP tahun ini.

Semua tiket bagi tempat duduk utama sudah dijual dengan hanya berbaki 7,500 tiket bagi C2 dan Hillstand Shell.

“Kami berharap seramai 100,000 peminat akan hadir bagi perlumbaan pada Ahad itu, bagaimanapun lebih daripada 95,000 juga dianggap satu kejayaan,” kata Razlan.

“Keseluruhannya, kami berharap lebih daripada 160,000 penonton sepanjang tiga hari itu. Kami opitimis memandangkan rakyat Malaysia kebanyakannya membeli tiket pada saat akhir.”

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Oktober 2017 @ 5:51 PM