Hafizh akan berlumba MotoGP
Hafizh akan berlumba MotoGP
Saiful Affendy Sapran


PELUMBA MotoGP negara, Hafizh Syahrin Abdullah bakal melakar sejarah muncul pelumba pertama yang akan beraksi dalam dua kejohanan berpestij iaitu Kejuaraan Endurance Dunia FIM (EWC) dan Kejuaraan Piala Touring Car Dunia FIA (WTCR).

Menggunakan format yang sama seperti pelumbaan Suzuka 8 Hours, EWC mungkin bukan sesuatu yang baru untuk Hafizh dan dia dijangka mampu mengendalikan jentera dengan baik. Namun WTCR cukup berbeza untuknya kerana perlumbaan itu membabitkan jentera empat roda dengan konsep perlumbaan yang singkat dan pantas.

"Kenapa saya mahu berlumba di dalam saingan WTCR? Kerana saya ingin mencuba perkara baru seperti yang pernah dilalui oleh Andrea Dovizioso dan Valentino Rossi.

"WTCR adalah saingan sangat popular di Eropah. Saya ada beritahu Datuk Razlan Razali (Ketua Pegawai Eksekutif SIC) untuk berlumba di dalam kedua-dua perlumbaan dan hari ini baru saya dimaklumkan memang akan berlumba di pada dua perlumbaan itu," katanya pada majlis pelancaran kedua-dua perlumbaan itu di Kuala Lumpur.

EWC akan berlangsung pada 14 Disember manakala WTCR sehari selepas itu. Ditanya adakah dia mampu untuk memikul dua tanggungjawab yang berbeza itu ketika perlumbaan hanya dibezakan selang sehari saja, Hafizh yakin mampu melakukannya.

"Saya harap dapat melakukan persediaan daripada sekarang. Saya juga perlu pastikan dapat cergas sepenuhnya mental dan fizikal untuk kedua-dua perlumbaan itu," katanya.

Setakat ini pasukan yang akan diwakili oleh Hafizh untuk EWC dan WTCR masih belum diketahui.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 Julai 2019 @ 7:46 PM