Penyerang Marseille, Nemanja Radonjic (dua kiri) menjaringkan gol kemenangan ke atas Brest dalam aksi Ligue 1 Perancis pagi ini. FOTO AFP
Penyerang Marseille, Nemanja Radonjic (dua kiri) menjaringkan gol kemenangan ke atas Brest dalam aksi Ligue 1 Perancis pagi ini. FOTO AFP
AFP

NEMANJA Radonjic yang dimasukkan sebagai pemain gantian pada separuh masa kedua meledak gol pada minit ke-89 untuk membantu kemenangan 2-1 Marseille ke atas Brest dalam saingan Ligue 1 Perancis awal pagi ini.

Jurulatih Andre Villas-Boas kini membimbing bekas juara Eropah itu dengan kemenangan keempat perlawanan liga berturut-turut.

Pencapaian itu membolehkan mereka berada di kedudukan kedua dengan 28 mata, lima di belakang Paris Saint-Germain yang akan berdepan Monaco pada awal pagi Isnin.

“Saya fikir ia adalah perlawanan terbaik kami, tetapi juga antara yang tertekan,” akui Villas-Boas.

“Hebat. Kami beraksi baik, ini kali pertama saya tidak mempunyai apa-apa perkara untuk dipersoalkan.”

Sebelum sepak mula di Stade Velodrome diadakan detik memperingati 13 tentera Perancis yang terbunuh di Mali pada Isnin.

Aksi pada perlawanan pada babak pertama agak kelam kabut dengan Marseille gagal memanfaatkan hampir 12 peluang terbaik menjaringkan gol.

Begitupun, Marseille bangkit memperoleh jaringan pada babak kedua apabila Bouna Sarr menjaringkan gol buat pasukan tuan rumah itu.

Ia adalah jaringan pertama pemain pertahanan berusia 27 tahun itu dalam kempen dan ketujuh sejak menyertai kelab itu pada 2015.

Masalah sentuhan penyudah Marseille kembali menghantui babak kedua sehingga memberikan peluang buat Cardona menyamakan kedudukan dengan tiga minit baki permainan.

Namun tersentak dengan jaringan itu, Radonjic yang bertindak sebagai wira memastikan kemenangan pasukan dan meneruskan kesinambungan gol pertama yang dijaringkan bersama Marseille dalam pertembungan menentang Toulouse minggu lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 November 2019 @ 7:22 AM