AKSI  Thauvin (kanan) selepas menjaringkan gol  Marseille di  Parc de Princes, awal pagi tadi. FOTO AFP
AKSI Thauvin (kanan) selepas menjaringkan gol Marseille di Parc de Princes, awal pagi tadi. FOTO AFP
AFP

JARINGAN tunggal Florian Thauvin menghadiahkan kemenangan pertama Marseille ke atas Paris Saint-Germain dalam 20 perlawanan yang menyaksikan Neymar dibuang padang selepas bertindak balas terhadap dakwaan provokasi berbaur perkauman oleh pemain lawan.

Sayap Perancis, Thauvin tidak beraksi hampir sepanjang musim lalu akibat kecederaan buku lali meledak voli jarak dekat pada minit ke-31 di Parc des Princes bagi membolehkan Marseille meraih kemenangan pertama ke atas musuh ketat mereka sejak 2011.

"Ia kemenangan penting, bersejarah. Kemenangan yang bagus tapi jelas sukar,'' kata jurulatih Marseille, Andre Villas-Boas kepada Telefoot.

PSG yang tewas pada final Liga Juara-Juara kepada Bayern Munich bulan lalu kini tewas dua aksi pembukaan musim ini tanpa menjaringkan gol buat kali pertama sejak 1978/79 dan skuad Thomas Tuchel berdepan tugas getir bulan ini.

INSIDEN pertelagahan di antara pemain PSG dan Marseille. FOTO AFP
INSIDEN pertelagahan di antara pemain PSG dan Marseille. FOTO AFP

Bermula dengan menerima kunjungan Metz pertengahan minggu ini dan ke Nice pada Ahad tanpa Neymar yang berdepan penggantungan selepas menampar belakang kepala pertahanan Marseille, Alvaro Gonzalez dalam insiden pertelagahan pada masa kecederaan yang menyaksikan lima pemain dilayang kad merah.

Selain pemain Brazil itu yang menuduh pemain lawan mengherdiknya dengan kata-kata berbaur perkauman, turut dibuang padang Layvin Kurzawa dan Leandro Paredes selepas reviu VAR.

"Tiada tempat perkauman dalam bola sepak tetapi saya fikir itu bukan kesnya...kami akan melihat perkara ini,'' kata Villas-Boas.

Penyerang Argentina, Dario Benedetto dan pertahanan kiri, Jordan Amavi turut dilayang kad merah untuk pasukan lawan.

Marseille berusaha merapatkan jurang dengan PSG selepas menduduki tangga kedua musim lalu dan kini mereka enam mata di hadapan kelab yang menjuarai tujuh gelaran sejak lapan tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 September 2020 @ 7:48 AM