KEDAH ketika latihan rasmi menjelang perlawanan akhir Piala Malaysia 2019 esok di Stadium Nasional Bukit Jalil. FOTO/MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
KEDAH ketika latihan rasmi menjelang perlawanan akhir Piala Malaysia 2019 esok di Stadium Nasional Bukit Jalil. FOTO/MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
Oleh Firdaus Hashim & Syazwan Msar


Perlawanan akhir Piala Malaysia tidak hanya berpandukan kekuatan atas kertas atau kelebihan rekod terdahulu, sebaliknya lebih memihak kepada pasukan yang kurang melakukan kesilapan serta mampu menguasai 90 minit.

Di atas kertas, Johor Darul Ta’zim (JDT) dianggap pilihan dengan rekod cemerlang dalam Liga Super selain memiliki barisan pemain yang hampir lengkap, sekali gus sukar dicabar pasukan lain.

Namun, jangan terlalu selesa dengan kelebihan itu apabila Kedah yang dipimpin Aidil Sharin Sahak mempunyai magis ketika beraksi perlawanan penting seperti dibuktikan pada final Piala FA menentang Perak dan separuh akhir Piala Malaysia berdepan Pahang.

Perkara itu diakui bekas pengendali Terengganu, Irfan Bakti Abu Salim yang melihat sudah pasti Aidil akan membuat kerja rumah untuk memerangkap skuad Harimau Selatan pada final hari ini.

“Pada aksi final, rekod atas kertas sudah lagi tidak terpakai kerana kedua-dua pasukan pastinya akan mempamerkan aksi terbaik mereka untuk menjulang Piala Malaysia,” katanya semalam.

Sementara itu, bekas pengendali Harimau Muda A, Mohd Azraai Khor Abdullah berkata, skuad Harimau Selatan boleh dikatakan lengkap di semua bahagian dan situasi terbabit boleh dilihat pada perlawanan separuh akhir menentang Selangor.

“Amat sukar untuk menyekat gandingan mantap serangan JDT yang sudah pasti memberi masalah pada pertahanan Kedah terutama ketika skuad Lang Merah kehilangan dua tonggak di bahagian terbabit,” katanya.

Selain itu, jurulatih Pulau Pinang, Manzoor Azwira berkata, tiada yang mustahil pada perlawanan final apabila Kedah sudah pastinya mahu melakukan kejutan dengan menumpaskan JDT.

“Kedah pasti bangkit atau bermain pada tahap tertinggi pada perlawanan penting seterusnya memberi cabaran hebat kepada JDT walaupun skuad Harimau Selatan dilihat berpeluang cerah menang,” katanya.

Pengendali UKM FC, Sulaiman Hussin berkata, peluang kedua-dua pasukan seimbang cuma sudah tentu kelebihan pada JDT, namun strategi Aidil yang memiliki pengalaman luas sudah pasti berupaya memerangkap lawan.

“Semua pemain akan mempamerkan aksi terbaik mereka memandangkan ini adalah perlawanan terakhir dan sudah tentu kelebihan pada JDT yang hampir tiada kelemahan atau kepincangan dalam kesebelasan utama,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 November 2019 @ 6:00 AM