PEMAIN Kedah menjalani latihan kecerdasan di Stadium Sultan Abdul Halim Mu'adzzam Shah sempena separuh akhir pertama Piala Malaysia diantara Kedah menentang Pahang di Stadium Darul Aman pada 19 Oktober ini. FOTO/SHARUL HAFIZ ZAM
PEMAIN Kedah menjalani latihan kecerdasan di Stadium Sultan Abdul Halim Mu'adzzam Shah sempena separuh akhir pertama Piala Malaysia diantara Kedah menentang Pahang di Stadium Darul Aman pada 19 Oktober ini. FOTO/SHARUL HAFIZ ZAM
Oleh Syazwan Msar


Saingan separuh akhir Piala Malaysia bakal bermula malam esok dengan pertemuan empat gergasi bola sepak tanah air yang bakal mempertaruhkan barisan pemain terbaik masing-masing bagi memerangkap lawan.

Selain kesebelasan utama yang mantap, pengendali empat gergasi daripada timur, barat, selatan dan utara itu sudah tentu akan merencana strategi khusus bagi memastikan pasukan masing-masing memiliki kelebihan untuk ke pusingan akhir.

Bekas pemain kebangsaan dan juga pengendali Harimau Muda A, Mohd Azraai Khor Abdullah berkata, empat pasukan terbabit dibimbing jurulatih yang berpengalaman di pentas final dan sudah tentu akan menggunakan kepakaran masing-masing pada aksi kali ini.

Mohd Azraai berkata, Johor Darul Ta’zim (JDT) dilihat antara pasukan yang memiliki potensi untuk ke pentas akhir Piala Malaysia apabila konsisten dalam saingan liga.

“Namun, Selangor juga mampu melakukan kebangkitan pada saat akhir atau ketika perlawanan penting sekali gus tidak boleh dipandang remeh oleh JDT.

“Jika melihat pada rekod sebelum ini, Pahang dengan pengendalinya Dollah Salleh mempunyai kelebihan daripada segi pemain yang mantap selain berpengalaman membawa pasukan ke pentas final.

“Manakala Kedah pula sudah pasti mahu memastikan Piala Malaysia berada dalam genggaman selepas tewas kepada Perak musim lalu,” katanya ketika dihubungi Arena Metro, semalam.

Mohd Azraai secara peribadi menjangka, JDT dan Kedah memiliki kelebihan untuk ke final berdasarkan kriteria tertentu.

“Kejayaan setiap pasukan turut bergantung kepada faktor kurang melakukan kesilapan, selain kemampuan mengikut strategi. Walaupun JDT dan Kedah dilihat ada peluang namun perlu diingatkan Selangor serta Pahang sudah tentu mahu membawa pulang sekurang-kurangnya satu piala apabila tidak berjaya berbuat demikian pada saingan liga dan Piala FA,” katanya.

Pada perlawanan pusingan pertama separuh akhir Piala Malaysia, JDT melayan kunjungan Selangor di Stadium Tan Sri Dato Haji Hassan Yunos, Larkin, manakala skuad Lang Merah pula akan menerima kunjungan Tok Gajah di Stadium Darul Aman, Alor Setar.

Empat pasukan terbabit akan bertemu pada perlawanan timbal balik, 26 Oktober ini dengan Pahang menanti kehadiran Kedah di Stadium Darul Makmur sambil JDT bertandang ke Stadium Shah Alam.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Oktober 2019 @ 6:00 AM