RODRIGO Hernandez (kanan) berhadapan Klaemint Olsenaksi kelayakan Euro 2020. FOTO AFP
RODRIGO Hernandez (kanan) berhadapan Klaemint Olsenaksi kelayakan Euro 2020. FOTO AFP
AFP

RODRIGO dan Paco Alcacer masing-masing meledak dua gol ketika Sepanyol mencatat kemenangan mudah 4-0 ke atas Faroe Islands di Gijon awal pagi tadi untuk memberikan kemenangan keenam dalam aksi kelayakan Euro 2020 dan semakin hampir kepada pusingan akhir tahun depan.

Kapten pasukan Sergio Ramos pula menyamai rekod Iker Casillas bersama skuad kebangsaan dengan penampilan ke-167, namun yang pasti ia adalah aksi berat sebelah di El Molinon.

Sepanyol kini tujuh mata mendahului Kumpulan F selepas mengekalkan rekod 100 peratus ketika Sweden di tangga kedua terikat 1-1 dengan Norway.

“Ya, ia hampir selesai tetapi bukan secara matematiknya,” kata jurulatih Sepanyol Robert Moreno apabila ditanya jika pasukannya sudah dianggap layak meskipun berbaki empat perlawanan.

“Kami perlu bangkit sebagai satu pasukan dengan menang semua perlawanan. Sudah tentulah matlamat terakhir adalah layak ke pusingan akhir tetapi apa yang penting adalah pasukan merasai segala-galanya berjalan lancar.”

Penonton bertafakur seketika sebelum perlawanan untuk menghormati Xana, 9, anak perempuan bekas jurulatih Luis Enrique yang meninggal dunia akibat kanser tulang.

Moreno, mengambil alih jawatan itu daripada Enrique apabika bekas pengendali Barcelona itu meletak jawatan pada Jun, membuat 10 pertukaran terhadap kesebelasan utama yang menang 2-1 ke atas Romania, awal pagi Jumaat namun kedudukan Ramos tidak berubah.

Sepanyol akan menentang Norway selepas ini pada 12 Oktober sebelum berkunjung ke Solna untuk berdepan Sweden tiga hari kemudian.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 September 2019 @ 8:55 AM