AKSI Morata menjaringkan gol pertama Sepanyol. - FOTO Reuters
AKSI Morata menjaringkan gol pertama Sepanyol. - FOTO Reuters
Reuters

DUA jaringan Alvaro Morata membantu Sepanyol menduduki tangga teratas kumpulan selepas menewaskan Malta 2-0 dalam aksi kelayakan Euro 2020, awal pagi tadi.

Jurulatih, Luis Enrique tidak berada bersama pasukan selepas pulang ke Sepanyol atas urusan keluarga namun penolongnya, Robert Moreno tiada masalah mengendalikan pasukan dengan melakukan lapan pertukaran dalam kesebelasan yang menewaskan Norway, Sabtu lalu.

Dalam aksi berlangsung di Stadium National Ta’Qali itu, tuan rumah lebih banyak bertahan sepanjang perlawanan dan pelawat hanya mampu menembusi gawang mereka pada minit ke-31 apabila Morata yang menerima hantaran jauh daripada tengah padang pantas menolak bola melepasi jangkauan penjaga gol Henry Bonello.

Penyerang Atletico Madrid itu melebarkan kedudukan pada minit ke-73 selepas menanduk masuk hantaran pemain gantian Jesus Nava daripada sebelah kanan.

Ketika Sepanyol bergelut dengan prestasi sebenar, mereka masih mampu menguasai 80 peratus perlawanan dengan Malta lebih gemar memastikan kubu mereka tidak ditembusi lawan.

Barisan depan Malta hanya mampu melakukan dua percubaan berbanding Sepanyol 23.

"Perlawanan ini seperti kami jangkakan, mereka lebih banyak beraksi di kawasan sendiri dan ini menyukarkan kami mencari gol,” kata pembantu jurulatih Sepanyol, Moreno.

"Kami dapat mencipta peluang tetapi malu juga kerana gagal menjaringkan lebih banyak gol.”

Selepas dua perlawanan, Sepanyol mengetuai Kumpulan F dengan enam mata manakala Sweden di tangga kedua dengan empat mata selepas seri 3-3 dengan Norway yang mempunyai satu mata.

Malta sama mata dengan pasukan di tempat ketiga Romania sementara Faroe Island di tangga tercorot tanpa sebarang mata.

"Apa yang kami mahu ialah layak secepat yang boleh, jadi kemenangan ini penting apatah lagi di tempat lawan,” kata penjaring gol, Morata.

"Bola sepak banyak berubah sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Sekarang sukar menewaskan pasukan yang lebih suka bertahan sepanjang perlawanan tetapi akhirnya lega kami menang.”

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Mac 2019 @ 7:16 AM