Gelagat murid mencuba dalam pertandingan E-sport sempena Hari Keusahawanan Sekolah Kebangsaan Hashim Awang. FOTO NSTP/DANIAL SAAD
Gelagat murid mencuba dalam pertandingan E-sport sempena Hari Keusahawanan Sekolah Kebangsaan Hashim Awang. FOTO NSTP/DANIAL SAAD
Nur Izzati Mohamad


SEKOLAH Kebangsaan (SK) Hashim Awang, Kepala Batas berhasrat menjadikan permainan sukan digital ‘E-Sport’ sebagai silibus pembelajaran dalam membantu meningkatkan tumpuan murid pendidikan khas di sekolah berkenaan.

Guru Pendidikan Khas sekolah itu,Mohd Hizam Hussain berkata, E-Sport adalah permainan sukan digital yang mula hangat diperkatakan apabila dilihat mempunyai kesan positif dalam meningkatkan tumpuan seseorang itu.

Katanya, murid pendidikan khas mempunyai masalah dari segi tumpuan di dalam kelas dan memerlukan pihak sekolah memikirkan inisiatif bagi memperbaikinya.

"Berikutan itu, dalam satu kajian yang diadakan bersama syarikat IN Solution Research Centre (HESRC) Sdn Bhd dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Pulau Pinang lebih setahun yang lalu mendapati bahawa E-Sport sebenarnya berupaya membantu meningkatkan tumpuan murid.

"Walaupun ramai yang beranggapan ia hanya sekadar permainan tetapi daripada sudut lain ia dapat menterjemahkan kepada tahap intelektual seseorang itu yang membolehkan pihak sekolah memperoleh data maklumat mengenai tahap keupayaan murid," katanya pada hari keusahawanan sekolah itu, hari ini.

Pada Hari Keusahawanan itu, sekolah berkenaan menganjurkan Pertandingan E-Sport yang disertai lebih 20 murid dalam usaha memperkenalkan permainan sukan digital itu.

Mohd Hizam berkata,permainan E-Sport yang diperkenalkan juga berbeza daripada lain apabila memilih permainan konsol dengan ‘motion sensor’ iaitu tanpa wayar.

"Kebiasaannya sukan yang diperkenalkan ini agak pasif kerana banyak menggunakan ‘keyboard’ tetapi kita cuba cari kelainan kerana mahu seseorang murid menjadi aktif.

"Justeru, dengan permainan tanpa wayar ia memerlukan pergerakan seluruh badan pemain dan tidak terhad kepada pergerakan jari jemari sahaja," katanya.

Menurutnya, E Sport mula diperkenalkanpada pertengahan tahun ini dan kini dalam usaha mencari dana supaya ia dapat diperkembangkan bukan sahaja untuk murid pendidikan khas tetapi juga murid normal.

"Bagi membangunkan permainan ini ia membabitkan kos agak tinggi dan memerlukan dana.

"Semalam, kerajaan mengumumkan RM50 juta untuk pembangunan E-Sport dan berharap sekolah ini memperoleh sedikit peruntukan bagi menjayakan hasrat sekali gus dapat menjadikannya silibus dalam pembelajaran suatu hari nanti,"’katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif IN Solution Research Centre (HESRC) Sdn Bhd, Dr Mohd Firdaus Abdul Razak, berkata pihaknya berkerjasama dengan sekolah terbabit selepas kejayaan membangunkan permainan sama untuk pesilat yang membantu meningkatkan tumpuan.

"Kajian beberapa bulan yang dijalankan didapati sukan ini sememangnya membawa perubahan kepada murid apabila meningkatkan tahap kecerdasan dan pemikiran murid," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Oktober 2019 @ 5:18 PM