ANTHOINE HUBERT (1996-2019). — FOTO formula1.com
ANTHOINE HUBERT (1996-2019). — FOTO formula1.com
Reuters

PEMANDU Perancis, Anthoine Hubert meninggal dunia susulan kemalangan pada kelajuan tinggi pada perlumbaan Formula Dua (F2) Grand Prix Belgium, menurut badan induk sukan permotoran dunia, awal pagi tadi.

Pelumba berusia 22 tahun itu dilanggar oleh pemandu Ecuador-Amerika, Juan Manuel Correa selepas dia terbabas ke tepi litar di selekoh pantas Raidillon di litar Spa-Francorchamps.

FIA dalam satu kenyataan menegaskan Hubert meninggal dunia pada jam 6.35 petang waktu tempatan dan mereka sudah memulakan siasatan terhadap insiden itu.

Correa, yang turut cedera dalam kemalangan itu, berada dalam keadaan stabil dan menerima rawatan di hospital CHU Liege, menurut FIA.

JENTERA Hubert yang remuk dikeluarkan dari litar oleh marsyal perlumbaan di Spa-Francorchamps. — FOTO EPA
JENTERA Hubert yang remuk dikeluarkan dari litar oleh marsyal perlumbaan di Spa-Francorchamps. — FOTO EPA

Kemalangan itu, yang membabitkan beberapa kereta, berlaku pada pusingan kedua perlumbaan dengan kru perubatan bergegas ke tempat kejadian sebelum membawa pemandu ke pusat perubatan di litar itu.

Perlumbaan itu mulanya ditangguhkan namun kemudian terus dibatalkan.

Penganjur membatalkan perlumbaan kedua malam ini, yang dijadualkan sebelum perlumbaan Formula Satu GP Belgium.

Hubert layak beraksi pada F2, kejohanan bagi pemandu yang berhasrat berlumba dalam F1, musim ini selepas menjuarai GP3 tahun lalu.

Memandu untuk pasukan Arden, dia menang dua perlumbaan di Monaco tahun ini dan di GP Perancis serta berada di tangga kelapan kedudukan keseluruhan.

Kematian Hubert adalah kecelakaan pertama pemandu pada hujung minggu perlumbaan F1 sejak Ayrton Senna dan Roland Ratzenberger di Imola pada 1994.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 September 2019 @ 12:14 PM