PEMANDU Red Bull, Max Verstappen mahu mengekalkan kemenangan di GP Belgium, hujung minggu ini. FOTO Reuters
PEMANDU Red Bull, Max Verstappen mahu mengekalkan kemenangan di GP Belgium, hujung minggu ini. FOTO Reuters
Reuters

Spa-Francorchamps, Belgium: Charles Leclerc berhasrat mengembalikan semangat Ferrari apabila dia kembali ke lokasi kali pertama memenangi sirkit Formula Satu di Grand Prix Belgium, Ahad ini.

Pelumba Monegasque itu muncul juara di Spa-Francorchamps pada 2019 dan kini menduduki tempat kedua keseluruhan, tetapi ketinggalan 80 mata di belakang juara dunia dari Red Bull, Max Verstappen ketika berbaki sembilan lagi perlumbaan.

Jika mahu muncul juara dunia bagi Ferrari buat kali pertama selepas Kimi Raikkonen pada 2007, Leclerc seharusnya memiliki kereta yang sesuai untuk sirkit berkelajuan tinggi itu.

Dia turut memerlukan kebolehpercayaan dan tidak melakukan kesilapan pemandu atau strategi yang boleh meranapkan impian pasukan itu memandangkan Leclerc hanya menang tiga kali walaupun tujuh kali bermula di petak utama, manakala Verstappen menang lapan kali.

Verstappen menamatkan semua perlumbaan di atas podium menyaksikan pemandu Belanda itu berpeluang amat cerah untuk muncul juara dunia sekali lagi.

Pemandu berusia 24 tahun itu yang muncul juara tahun lalu selepas berada di belakang kereta keselamatan selama tiga pusingan kerana hujan lebat, berhasrat merangkul kemenangan sejati di Belgium di depan penyokong dari negara kelahirannya, kali ini.

"Saya sudah tentu mahu kembali semula ke sini," kata Verstappen.

"Ini adalah litar kegemaran saya dan saya tidak sabar berlumba pada hujung minggu ini."

Juara dunia tujuh kali, Lewis Hamilton dan rakan sepasukannya, George Russell turut boleh meletakkan Mercedes sebagai pencabar.

Pasukan itu kini berjaya menaiki podium enam kali berturut-turut dengan kedua-dua pemandu berada di tempat ketiga terbaik pada dua perlumbaan terakhir dan Russell berada di petak utama buat kali pertama di Hungary.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Ogos 2022 @ 10:32 AM