Agensi

NEYMAR berang selepas ‘dimalukan’ oleh kemahiran menggelecek pemain muda, Weverton ketika skuad Brazil menjalani latihan menghadapi Copa America.

Penyerang PSG itu dipermainkan ketika dia bersama rakan sepasukan berlatih dengan skuad Tite untuk menghadapi saingan kejohanan benua Amerika Selatan itu.

Neymar yang dilucutkan lilitan kapten Brazil, digantikan oleh Dani Alves berikutan beberapa isu mengenai disiplin.

Pemain berusia 27 tahun itu berharap mendapat kepercayaan Tite apabila berlatih bersama skuad penuh negara itu, minggu ini.

Bagaimanapun, Neymar membiarkan kemarahannya meledak selepas menarik bib Weverton, 19, sehingga dia terjatuh kerana terlalu ‘menunjuk-nunjuk’ ketika latihan.

Selepas mendapat bola, pemain Cruzeiro itu berjaya melarikannya melepasi kaki penyerang PSG itu.

Neymar serta-merta menarik bib pemain terbabit menyebabkannya terjatuh.

Weverton yang tertiarap di padang terkejut selepas bekas pemain Barcelona itu tidak ambil peduli sebaliknya terus berjalan tanpa memandang ke belakang.

Selepas video insiden itu viral di Twitter, peminat terus mengecam Neymar.

Seorang peminat menulis: "Tidak pasti dari mana dia mendapat kesombongan. Pemain bolasepak paling ‘terlebih rating’ pernah menyepak bola."

Seorang lagi menyatakan: "Paling teruk bukan bahagian dia menarik budak itu. Malah, dia langsung tidak membantu untuk kembali bangun."

Dakwa seorang lagi: "Dia akan berakhir dibayangi Weverton selepas ini."

Pemain berharga £200j (RM1 bilion) itu kemudian memegang lututnya selepas melakukan sepakan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 Mei 2019 @ 3:14 PM
Neymar memegang lututnya selepas membuat sepakan. FOTO AFP
Neymar memegang lututnya selepas membuat sepakan. FOTO AFP
Neymar menarik Weverton hingga jatuh. FOTO Youtube
Neymar menarik Weverton hingga jatuh. FOTO Youtube