PEMAIN negara meraikan jaringan ketika menentang Belanda, semalam. - FOTO MHC
PEMAIN negara meraikan jaringan ketika menentang Belanda, semalam. - FOTO MHC
Saiful Affendy Sapran


EMPAT gol berjaya disumbat ke gawang naib juara Piala Dunia tahun lalu, Belanda membuktikan skuad negara semakin hampir menyaingi pasukan gergasi dunia.

Meskipun tewas 4-6 kepada pasukan ranking ketiga dunia itu dalam perlawanan persahabatan siri jelajah Eropah di Breda, Belanda semalam, pengendali skuad hoki negara, Roelant Oltmans mampu tersenyum puas melihat barisan pemainnya memberi tekanan kepada negara kelahirannya itu.

"Sekali lagi pemain selangkah lebih baik dalam proses membentuk pasukan. Kami menampilkan corak menyerang yang baik serta memiliki peluang menjaringkan lebih banyak gol.

"Bagaimanapun, kami dihukum atas setiap kesilapan dilakukan pemain. Masih lagi satu persembahan baik dan ia membuktikan kami semakin mampu bersaing dengan pasukan terbaik dunia," katanya.

Skuad negara akan turun pada perlawanan kedua bertemu lawan sama hari ini dengan Oltmans mengakui akan merangka strategi lebih ampuh untuk memberi kesukaran kepada Belanda.

Pada perlawanan semalam, Marco Pruijser meletakkan Belanda di depan seawal minit ke-2

sebelum Shahril Saabah menyamakan kedudukan minit ke-11.

Jip Janssen kembali meletakkan Belanda di depan minit ke-13 menerusi pukulan sudut penalti manakala Pruijser menambah gol ketiga minit ke-20. Pertahanan negara, Faizal Helmi Jali merapatkan jurang hasil gol padang minit ke-29 untuk kedudukan semasa Belanda mendahului Malaysia 3-2 selepas tamat separuh masa pertama. Janssen menambah gol keempat untuk Belanda minit ke-38 tetapi pakar pukulan sudut penalti negara, Muhammad Razie Rahim kembali merapatkan jurang lima minit kemudian. Jelle Galema dan Thierry Brinkman masing-masing menyumbang gol padang minit ke-49 dan 51 sebelum penyerang negara, Faizal Saari menambah gol keempat Malaysian Tigers empat minit sebelum tamat perlawanan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Ogos 2019 @ 5:59 PM