Nuraini galas tugas baru di England. FOTO NSTP
Nuraini galas tugas baru di England. FOTO NSTP
Saiful Affendy Sapran


PENGALAMAN bersama Butterfly Roma di Liga Hoki Itali musim lalu akan dimanfaatkan sepenuhnya Nuraini Abdul Rashid apabila menggalas tugas lebih sukar bersama kelab Liga Premier England, East Grinstead.

Pakar pukulan sudut penalti negara itu akan ditemani penjaga gol utama skuad negara, Farah Ayuni Yahya yang akan beraksi pada musim keduanya bersama kelab itu.

Mengakui teruja dipancing East Grinstead, Nuraini bagaimanapun mengakui tanggungjawab yang bakal dipikul kali ini lebih sukar.

"East Grinstead adalah kelab yang besar berbanding Butterfly Roma dan saingan liga di England juga sangat kompetitif.

"Saya harap dapat buktikan sesuatu apabila bersama kelab nanti," katanya.

Jelas Nuraini, perkara paling utama untuknya adalah menimba pengalaman sebanyak mungkin kerana bukan mudah untuk mendapat tempat beraksi di England.

"Lagipun apabila beraksi di luar ia akan meningkatkan lagi semangat saya ketika bersama skuad kebangsaan. Jadi saya akan cuba sedaya upaya mencapai sasaran pasukan," katanya.

Farah Ayuni mencipta sejarah musim lalu apabila menjadi pemain wanita pertama beraksi di Liga Premier England.

Dia diberi tanggungjawab selaku penjaga gol utama East Grinstead yang menamatkan saingan musim lalu di tempat ketiga di belakang Holcombe dan Surbiton.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 September 2019 @ 6:52 PM