RORY McIlroy pada pusingan ketiga Kejohanan Jemputan WGC-St Jude di Memphis.
RORY McIlroy pada pusingan ketiga Kejohanan Jemputan WGC-St Jude di Memphis.
Reuters

RORY McIlroy mencatat kelebihan satu pukulan berbanding Brooks Koepka pada pusingan ketiga Kejohanan Jemputan WGC-St Jude di Memphis awal pagi tadi, memberi bayangan untuk pusingan akhir yang mendebarkan.

McIlroy menamatkan pusingan ketiga penuh gaya dengan tiga birdie berturut-turut, melakukan pukulan putt sejauh 27 kaki untuk mendahului saingan dengan lapan di bawah par dalam keadaan ideal di TPC Southwind.

Pemain golf Ireland Utara itu mencatat 12 di bawah par 198, lebih satu pukulan berbanding juara utama empat kali, Koepka yang mencatat tujuh di bawah par 64.

Pendahulu pusingan kedua Matthew Fitzpatrick dari England ketinggalan dua pukulan dengan aksi kurang konsisten, 69 pukulan dalam acara Kejohanan Golf Dunia itu.

Pemain Sepanyol Jon Rahm, Marc Leishman dari Australia dan pemain Sweden Alex Noren pula ketinggalan tiga pukulan, jelas sekali masih berpeluang meskipun tumpuan kini terarah kepada dua pemain di tangga teratas.

McIlroy dan Koepka akan digandingkan awal pagi esok, kali pertama kedua-duanya beraksi bersama pada pusingan terakhir acara Jelajah PGA itu.

McIlroy yang tersingkir pada Terbuka Britain minggu lalu di laman sendiri, Royal Portrush, berkata pemilihan wedge yang betul membantu kejayaannya hari ini.

“Saya hanya menganggar jarak pukulan menerusi wedge yang digunakan. Ia menjadi hari ini. Satu daripada sasaran saya adalah membuat pukulan ‘pin high’ dan saya berjaya melakukannya hampir sepanjang hari.”

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Julai 2019 @ 9:11 AM