LEE Mi-hyang
LEE Mi-hyang
AFP

LEE Mi-hyang mencatat dua birdie dan satu eagle pada tiga lubang teakhir untuk mendahului satu pukulan, sebaik tamat dua pusingan Kejohanan Evian ketika angin kencang dan hujan lebat menjejaskan permainana.

Pemain berusia 26 tahun itu yang memburu gelaran utama pertamanya selepas menduduki tangga kedua di belakang rakan senegara Ko Jin-young pada kejohanan ANA Inspiration pada April, mengumpul 10 di bawah par keseluruhan selepas mencatat 65 dan 67 pukulan.

“Evian adalah satu tempat di mana saya mempunyai banyak kenangan indah. Saya sentiasa bermain dengan baik di sini. Biarpun ketika saya kurang sihat, pada hari kejohanan semuanya berubah,” kata Mi-hyang yang meraih tiga keputusan kelompok 10 teratas di kejohanan itu.

Di tangga kedua selepas dua pusingan juga dibarisi pemain Korea Selatan Park Inbee, Kim Hyo-joo dan pemain nombor satu dunia Park Sung-hyun, yang membuat 66 pukulan.

“Saya fikir pukulan putt saya menjadi, itulah sebabnya saya mampu bermain secara konsisten,” kata pemilik dua kejuaraan utama, Sung-hyun.

“Saya tidak 100 peratus berpuas hati dengan cara permainan saya pada sembilan lubang terakhir hari ini tetapi saya akan lebih fokus terhadap apa yang berlaku pada pusingan ketiga dan keempat.”

Pencapaian terbaik Sung-hyun pada Kejohanan Evian hadir pada 2016 apabila di terikat di tangga kedua.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 Julai 2019 @ 11:50 AM