JOELINTON (kanan) bersama pengurus Newcastle, Steve Bruce selepas menandatangani kontrak awal pagi tadi. — FOTO Newcastle United
JOELINTON (kanan) bersama pengurus Newcastle, Steve Bruce selepas menandatangani kontrak awal pagi tadi. — FOTO Newcastle United
AFP

NEWCASTLE United mengikat penyerang Brazil, Joelinton dari Hoffenheim, umum kelab Liga Perdana Inggeris itu awal pagi tadi sekali gus mencatat yuran perpindahan terbesar dalam sejarah kelab itu.

Pemain berusia 22 tahun itu akan menyarung jersi nombor 9 Newcastle – Alan Shearer antara pemakai jersi itu sebelum ini – selepas bersetuju dengan perjanjian selama enam tahun bernilai 45 juta euro (RM185 juta).

Joelinton Cassio Apolinario de Lira memulakan karier bola sepaknya di kelab Brazil, Sport Recife, sebelum menyertai kelab Bundesliga, Hoffenheim.

Dia bermain secara pinjaman dengan kelab Austria, Rapid Vienna selama dua musim sebelum kembali ke Hoffenheim, yang mana dia meledak tujuh gol dalam 26 perlawanan Bundesliga musim lalu, selain menyumbat tiga gol pada Piala Jerman.

“Saya terlalu gembira untuk berada di sini,” kata Joelinton dalam satu kenyataan Newcastle, awal pagi tadi.

“Saya sedar ia satu pelaburan besar dibuat kelab ini terhadap saya dan ia hadir dengan tanggungjawab besar.

“Saya amat bermotivasi dan berharap untuk membalasnya dengan persembahan hebat di padang.”

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Julai 2019 @ 8:04 AM